Tuesday, 30 April 2019

Tahfiz Mandarin Terengganu Beroperasi Tahun Depan

SHARE
Satiful Bahari (kiri) bersama Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri).
MARANG, 30 April - Kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Terengganu (YT) dalam proses mempersiapkan institusi Tahfiz Mandarin di negeri itu yang akan beroperasi awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pusat tahfiz itu akan beroperasi di bangunan yayasan di Dungun melibatkan pengambilan 12 pelajar untuk satu kelas.

Jelasnya, penubuhan tahfiz berkenaan akan merancakkan lagi industri pendidikan yang merangkumi pelbagai aspek pengajian di negeri berkenaan.

Buat masa ini, kita sedang membaik pulih bangunan tersebut dan kita jangka beroperasi bermula tahun depan. Pendekatan ini diambil memandangkan kita ada seramai 530 orang pelajar yang belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

“Oleh itu, bagi pengajian di Tahfiz Mandarin, ini salah satu daripada mata pelajaran wajib adalah dalam bahasa Mandarin di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pastinya mereka menghafaz al-quran,” ujarnya.

Satiful berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Pengkalan Berangan di Binjai Rendah, di sini semalam.

Bersama anak-nak pelajar SRIDI.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama TerengganuMat Azmi Arshad.

Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Tambah Satiful, pembukaan sekolah Tahfiz Mandarin tersebut tidak memerlukan kos besar kerana ia menggunakan bangunan sedia ada manakala pengajian yang diguna pakai adalah berdasarkan modul sekolah Imtiaz.

“Pengambilan pelajar akan dibuat menerusi sesi temuduga yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita ambil dan buat temuduga di kalangan pelajar yang sudah sedia ada di sekolah Cina,” tambah beliau.

Penubuhan Pusat Tahfiz Mandarin itu adalah yang pertama di negeri Terengganu dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai ilmuan Islam pada masa akan datang.

Anak-anak SRIDI tekun menelaah pelajaran.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: