Wednesday, 3 April 2019

Sidang DUN : Utamakan Kuota Pekerjaan Untuk Anak Terengganu

SHARE
Alias Harun.
KUALA TERENGGANU, 2 April - Peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan oleh kerajaan negeri menerusi beberapa platform dicadang supaya disediakan kuota khas untuk anak Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, Terengganu adalah sebuah negeri yang mempunyai sumber ekonomi yang pelbagai dan secara tidak langsung ia akan membuka peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Jelasnya, anak tempatan mempunyai kepakaran kerana ramai di antara mereka mempunyai kelulusan akademik yang tinggi dari pusat pengajian dan kemahiran terkemuka.

“Kita mengharapkan peluang-peluang pekerjaan dibuka luas seperti yang dijanjikan walaupun tidak semudah itu kerana kebanjiran tenaga kerja dari luar.

“Cuma kita mengharapkan, perlu ada kuota (pekerjaan) seperti yang disebut tadi supaya perkara ini menjadi agenda utama kita dalam menarik pelabur-pelabur luar datang ke tempat kita supaya anak tempatan tidak ketinggalan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Alias turut berkata, dasar yang memberikan keuntungan kepada anak tempatan perlu dirangka dan ditetapkan agar pelabur-pelabur luar dapat mengikuti syarat berkenaan.

Ujarnya,perkara itu secara tidak langsung akan membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat Terengganu.

“Kitalah yang meletakkan dasar ini supaya pelabur-pelabur dapat mematuhi sebahagian daripada kuota yang ditetapkan.

“Kuota perlulah munasabah sesuai dengan perbincangan dua pihak (yang terlibat dalam bidang ekonomi dan pelaburan) berkenaan,” tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: