Monday, 1 April 2019

Sidang DUN : TITAH UCAPAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL-WATHIQU BILLAH SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN

SHARE

Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillahi Rabbil Alamin, Wabihi Nastain
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Berhormat
Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,

Yang Berhormat
Ahli–ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah dan rahmat-Nya dapat Beta dan Sultanah hadir untuk menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Keempat Belas pada pagi yang mulia ini.


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Solallahu ‘Alaihi Wasallam dan sekalian ahli keluarga, para sahabat serta seluruh umat Baginda.

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kehendak dan izin-Nya jua, Beta dianugerahkan kesihatan yang berterusan untuk melaksanakan amanah bagi menaungi dan memayungi negeri tercinta ini. Beta juga menzahirkan kesyukuran kerana seluruh rakyat negeri ini dapat terus menikmati keharmonian, keselamatan dan keamanan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Pilihan Raya Umum Ke-14 telah pun berlalu hampir setahun. Beta berasa sukacita dengan kepimpinan Memanda Beta, Yang Amat Berhormat Doktor Ahmad Samsuri Bin Mokhtar kerana telah berjaya mengamalkan konsep kepimpinan yang matang dan sejahtera. Beta melihat semangat perpaduan dan kekitaan di antara Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat Beta tanpa mengira mana-mana parti telah terserlah demi memastikan Negeri Terengganu Darul Iman menjadi di antara negeri yang paling harmoni di negara ini. Beta menyeru supaya ketepikan politik kepartian dan berilah keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri. Beta ingin melihat negeri ini setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain.
Akhir-akhir ini Beta merasakan ada banyak perkara yang sedang berlaku dan dilihat seperti ada pihak-pihak tertentu yang ingin cuba menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan yang telah terbina sekian lama  di bumi Malaysia yang tercinta ini. Ada pihak yang berani melakukan perkara-perkara yang menyentuh kesucian Agama Islam, memperlekehkan institusi DiRaja dan banyak lagi perkara yang berpotensi mengakibatkan kejadian yang  tidak  diingini  berlaku.  Beta  selaku  Ketua  Agama   di negeri ini mahu pihak yang berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara-perkara seperti ini tidak menular di negeri ini.


Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta dimaklumkan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Terengganu dijangka tumbuh sederhana sebanyak 5.0 peratus pada tahun 2018 berbanding 5.9 peratus
pada tahun 2017.

Ekonomi negeri secara langsung menerima  kesan  krisis mata wang, kewangan dan perang perdagangan di peringkat global. Penyusutan dalam sektor pertanian dan pembinaan telah memperlahankan prestasi keseluruhan KDNK. Walau bagaimanapun, sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu pertumbuhan dengan peningkatan dalam  sub  sektor  perdagangan  borong  dan  runcit,   utiliti, pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan kerajaan.

Beta berasa amat sukacita kerana Beta dimaklumkan bahawa berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Negeri Terengganu telah menerima jumlah pelaburan yang tinggi pada tahun 2018 iaitu dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.9 bilion. Justeru, Beta berharap Invest Terengganu akan terus memainkan peranan yang agresif dengan memastikan ekosistem pelaburan seperti infrastruktur, gaya hidup (lifestyle) dan kemudahan utiliti terus diperkasakan bagi mengekalkan Negeri Terengganu sebagai destinasi pelaburan yang kondusif. Kerajaan Negeri perlu fokus kepada bagaimana untuk menurunkan ‘cost of doing business’ di Terengganu bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta.

Beta menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan Terengganu Silica Valley (TSV) di Jambu Bongkok, Marang. Terengganu Silica Valley adalah satu kawasan pembangunan bersepadu untuk aktiviti pemprosesan produk-produk akhir berasaskan silika dan quartz yang akan mengukuhkan rantaian nilai dalam ekonomi negeri. Beta berharap pembangunan TSV akan menjadi game changer pembangunan ekonomi Negeri Terengganu.


Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melancarkan pelan induk ECER 2.0 bermula tahun 2018 hingga 2025 dengan penerapan Revolusi Industri
4.0 sebagai pengupaya ekonomi berteraskan produktiviti. Fokus bagi pelaburan di bawah ECER 2.0 adalah industri yang bernilai tinggi dan berintensif teknologi bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan lebih tinggi kepada rakyat Negeri Terengganu.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta telah dimaklumkan pelan pembangunan Negeri Terengganu Darul Iman yang komprehensif telah dibangunkan iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030). Beta amat gembira dengan pelan yang dicadangkan ini kerana ia menunjukkan bahawa kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar beserta barisan kepimpinan negeri mempunyai halatuju yang jelas bagi memacu Negeri Terengganu lebih jauh ke hadapan sejajar dengan dasar Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.


Beta difahamkan PITAS2030 ini telah dibangunkan selepas mengambil kira dua (2) elemen penting, iaitu pertama, permasalahan Negeri Terengganu dalam pembangunan insan seperti pendidikan, masalah jenayah, gejala sosial dan isu-isu pembangunan ekonomi seperti kadar pertumbuhan KDNK yang rendah, kesukaran menarik pelaburan, kadar pengangguran dan kadar kemiskinan yang tinggi. Elemen kedua adalah potensi Negeri Terengganu yang boleh dibangunkan secara optimum berteraskan kepada kekayaan sumber asli negeri, potensi sektor pelancongan, air dan sebagainya.

Beta yakin dengan kepimpinan unggul yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan gandingan institusi pengendali dan pelaksana, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) mampu menjadi penggerak bagi mencapai sebuah Negeri Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera.


Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta dimaklumkan secara keseluruhannya pada  tahun 2018, Kerajaan Negeri telah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM1.792 bilion iaitu menurun sebanyak RM280.34 juta berbanding kutipan pada tahun 2017. Penurunan ini adalah disebabkan oleh Terimaan Bukan  Hasil yang berpunca daripada bayaran royalti minyak telah berkurang sebanyak RM317.57 juta atau 17.38 peratus. Namun demikian, Beta berasa sukacita kerana Hasil Cukai tahun 2018 telah meningkat kepada RM77.99 juta berbanding RM57.46 juta pada tahun 2017. Hasil Bukan Cukai juga meningkat daripada RM188.58 juta kepada RM205.29 juta.

Selain itu, Beta juga berasa sukacita dan bersyukur apabila jumlah kutipan zakat sentiasa meningkat setiap tahun. Pada tahun 2018, jumlah kutipan zakat adalah sebanyak RM160.37 juta, peningkatan sebanyak RM22.42 juta berbanding tahun 2017 iaitu sebanyak RM137.95 juta. Beta mengucapkan syabas dan tahniah terutamanya kepada Kerajaan Negeri dan warga kerja MAIDAM kerana telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan jayanya.


Beta telah meneliti Bajet Negeri Tahun 2019 yang  telah dibentangkan pada 25 November 2018 yang lalu yang bertemakan “Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera” yang mana merupakan Bajet Berimbang dengan jangkaan hasil dan perbelanjaan sebanyak RM2.015 bilion. Beta berharap Kerajaan Negeri dapat memastikan perbelanjaan Bajet 2019 ini dipantau dan diteliti dengan sebaik mungkin. Keutamaan haruslah diberikan ke arah kesejahteraan hidup rakyat dengan penekanan kepada Peningkatan Pendapatan Rakyat, Pembasmian Kemiskinan, Peningkatan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan serta Pembinaan Asas Ekonomi bagi Penjanaan Pertumbuhan Ekonomi masa hadapan.
Beta juga ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan tiga (3) jabatan Kerajaan Negeri yang mendapat penarafan pengiktirafan tertinggi lima (5) bintang Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Tahun 2017 iaitu Pejabat Daerah Setiu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri. Kejayaan ini hendaklah menjadi inspirasi kepada jabatan-jabatan lain untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang.


Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Pembangunan seimbang antara daerah hendaklah diberikan penekanan oleh Kerajaan Beta. Daerah-daerah seperti Setiu, Hulu Terengganu dan Besut perlu diberi suntikan pembangunan yang baharu. Berdasarkan jumlah pendapatan isirumah pada tahun 2016, pendapatan isi rumah di daerah- daerah ini jauh ketinggalan. Beta suka mencadangkan agar pembangunan ekonomi di daerah-daerah ini dirancang berdasarkan kekuatan setempat khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan. Sehubungan itu, peruntukan yang mencukupi dan usaha yang berterusan hendaklah dilaksanakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, pemulihan tanah terbiar dan memperkasakan sektor pertanian.

Projek Pembinaan Drawbridge yang bernilai RM248.73 juta akan siap sepenuhnya pada bulan April 2019. Jambatan ini akan memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Pusat Bandar Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Impak yang paling besar adalah dapat menyuraikan aliran trafik dari Pusat Bandar Kuala Terengganu


ke Daerah Kuala Nerus yang sekaligus akan dapat mengatasi masalah kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud terutamanya pada waktu puncak. Drawbridge ini juga akan menjadi ikon baharu pelancongan Negeri Terengganu.

Selain itu, penyiapan Double Road Frontage Fasa 2 Dari Pasar Payang Ke Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu akan memberi manfaat kepada rakyat dari segi aliran trafik yang lebih tersusun. Ini akan mewujudkan tarikan pelancongan yang baharu di sepanjang pesisir Sungai Terengganu. Projek ini juga dapat meningkatkan sistem kemudahan pengangkutan di Bandaraya Kuala Terengganu.

Beta difahamkan bahawa kemajuan fizikal pembangunan Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus dan juga pembangunan infrastruktur di Bandar Baharu Kijal, Kemaman Fasa 2 berjalan lancar dan mendahului jadual. Beta yakin kedua-dua projek pembangunan bandar baharu ini apabila siap nanti ianya akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan dan ekonomi penduduk-penduduk di kawasan sekitar.


Beta juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan infrastruktur di Negeri Terengganu yang diterjemahkan melalui Pelaksanaan Program dan Projek Pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah Rolling Plan 4 Negeri Terengganu.

Sebanyak 260 projek telah dirancang dengan peruntukan sebanyak RM1.03 bilion telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan. Beta berharap semua pihak yang berkenaan dapat memastikan pelaksanaan semua projek ini berjalan dengan sempurna dan mencapai matlamatnya.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Dalam merencana pembangunan negeri, Kerajaan Negeri perlu menitikberatkan kelestarian alam sekitar. Beta sedar konflik antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. Namun demikian, Beta berharap ianya dapat diuruskan dengan sempurna dan penuh bijaksana.


Beta merasa bangga apabila telah banyak projek berasaskan Teknologi Hijau yang dilaksanakan di negeri ini terutamanya projek Ladang Solar pertama yang berkapasiti 5 MegaWatt di atas tapak berkeluasan kira-kira 20 ekar di Kawasan Perindustrian Saujana, Setiu yang bermula pada tahun 2012.
Selain daripada itu, Beta dimaklumkan juga Syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Bhd telah membangunkan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 MegaWatt di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu sekaligus menjadi loji janakuasa solar terbesar beroperasi di negara ini sekarang. Projek bernilai kira-kira RM86 juta di atas tapak seluas kira-kira 28.3 hektar ini telah beroperasi sejak 14 Januari 2018.
Kerajaan juga harus memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi khususnya kemudahan internet berkelajuan tinggi.


Beta dimaklumkan Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan perkhidmatan Wi-Fi berkelajuan tinggi dan kemudahan internet yang menyeluruh ke seluruh pelusuk Negeri Terengganu. Penyediaan perkhidmatan ini pada masa sekarang telah memberi manfaat kepada 300,000 orang pengguna dan dijangka akan meningkat lagi apabila projek Terengganu Wi-Fi siap sepenuhnya pada Julai 2019. Kita semua harus ingat bahawa pada masa ini internet berkelajuan tinggi adalah pra syarat ke arah pembangunan ekonomi yang lebih pesat.

Beta juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3.1 juta pada tahun ini bagi memperkenalkan Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) yang merupakan penjenamaan semula pusat Bestari.com sebagai pusat one stop centre bagi semua aktiviti berasaskan internet. Beta juga berasa sukacita apabila projek TD1303 yang menawarkan ruang co-working space dengan internet berkelajuan tinggi telah berjaya disiapkan dan sekarang sedang beroperasi. TD1303 adalah usaha perintis Kerajaan Negeri bagi menggerakkan ekonomi digital di negeri ini.


Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta berharap Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada menjenamakan Negeri Terengganu sebagai   destinasi   eko-pelancongan   yang    kompetitif   di rantau ini. Pembangunan sektor pelancongan akan merangsang keperluan ke arah penyediaan perkhidmatan sokongan seperti penginapan, makan minum, industri kraftangan, pengangkutan dan lain-lain. Malah, kesan gandaan atau ‘multiplier effect’ akan dapat dinikmati secara terus oleh rakyat.

Dalam konteks pelancongan, Beta berharap Kerajaan Negeri melihat kepada beberapa parameter iaitu;

Pertama, meningkatkan jumlah kedatangan pelancong; Kedua, meningkatkan tempoh tinggal pelancong; dan
Ketiga, meningkatkan perbelanjaan pelancong di Negeri Terengganu.


Beta dimaklumkan Garis Panduan Pembangunan Pulau-Pulau Peranginan dan Taman Laut telah diluluskan pada bulan Disember 2018. Tujuan utama pelan ini adalah bagi mengawal daya tampungan (Carrying Capacity) setiap pulau serta mengawal aktiviti pembangunan di pulau supaya dapat mengekalkan kelestarian ekosistem dan keindahan alam semulajadi. Beta berharap pelan ini dilaksanakan bagi menjaga kelestarian pulau-pulau peranginan di Negeri Terengganu ini.

Beta juga amat sukacita dengan pewujudan Enakmen Taman Negeri Terengganu dan Majlis Pengurusan Taman Negeri. Beta difahamkan sehingga kini kawasan yang telah diwartakan di bawah Enakmen Taman Negeri Terengganu adalah seluas 30,432 hektar. Beberapa kawasan lagi di Daerah Setiu termasuk Tasik Berombak masih dalam proses pewartaan. Beta berasa sukacita apabila Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk mewartakan Pulau Tenggol sebagai Taman Negeri. Penekanan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada usaha pemeliharaan alam sekitar ini adalah selari dengan trend global.


Beta percaya Kerajaan Negeri melalui Majlis Pengurusan Taman Negeri berupaya merancang pengisian terbaik bagi projek ini agar limpahan pembangunan akan dirasai oleh komuniti setempat.
Oleh itu, Beta mencadangkan agar lebih banyak program bersifat ‘community base’ dilaksanakan supaya rakyat dapat menikmati usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kerajaan Negeri hendaklah memberi perhatian serius kepada pelaburan modal insan bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, mempunyai nilai-nilai murni, berakhlak mulia dan berdaya saing. Beta mengambil maklum hasrat Kerajaan Negeri dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI). Kedua-dua jenis sekolah ini menekankan gabungan aspek pendidikan Al-Quran, Agama Islam dan Bahasa Arab dan sistem pendidikan arus perdana masa kini. Beta percaya, dengan penubuhan sekolah agama ini, Terengganu akan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan mempunyai akhlak dan sahsiah yang tinggi.


Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang berjaya mengekalkan kecemerlangan pendidikan Terengganu. Kejayaan Terengganu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mengatasi Purata Gred Keseluruhan (PGK) di peringkat nasional adalah satu kejayaan yang amat membanggakan. Namun demikian, kita tidak boleh berhenti di sini. Usaha- usaha berterusan perlu diambil bagi mengekalkan kejayaan dan melahirkan talent yang akan menjana pembangunan negeri pada masa akan datang.

Dalam bidang sukan, kecemerlangan Terengganu tidak boleh dipertikaikan lagi. Antaranya ialah berjaya merampas kembali kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, kejayaan Siti Rahmah binti Mohamed Nasir mempertahankan pingat emas kali keempat berturut-turut di Kejohanan Pencak Silat Dunia, saudara Ahmad Atif Irsyad berjaya menjadi Juara Remaja Dunia di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2018 dan Azizulhasni Awang menerima Anugerah Olimpian Lelaki Terbaik daripada Majlis Sukan Negara.


Beta berharap kejayaan-kejayaan yang dicapai di peringkat antarabangsa ini dapat diteruskan lagi.  Beta  juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bersetuju untuk menyediakan peruntukan berjumlah RM60 juta untuk pembangunan belia dan sukan di Negeri Terengganu.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta dimaklumkan juga bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan ‘Pelan Strategik Halatuju Pertanian Negeri Terengganu 2019 - 2023’. Pelan ini yang merangkumi enam (6) teras strategik akan dilaksanakan mulai 2019 sehingga 2023 meliputi sektor pertanian, perikanan, penternakan, industri asas tani dan kulinari. Pelan ini telah disusun dengan memfokuskan beberapa strategi bagi tahun pertama 2019 iaitu;

Strategi Pertama - Fasa pemulihan semua kemudahan dan infrastruktur pertanian dan asas tani yang telah sedia ada;


Strategi Kedua – Mengemaskini semula status tanah- tanah kerajaan yang dirizabkan dan diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi tujuan pertanian, perikanan dan penternakan; dan
Strategi Ketiga – Memanfaatkan tanah-tanah pertanian kosong serta memperkayakan sumber perikanan dan penternakan.

Beta berharap pelan strategik halatuju pertanian bagi tempoh lima (5) tahun ini akan digembleng dan dimanfaatkan sepenuhnya dengan harapan ianya akan berjaya memajukan ekonomi negeri dan meningkatkan pendapatan rakyat khususnya di luar bandar.

Beta dimaklumkan sepanjang tahun 2018, Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) telah melaksanakan pelbagai program keusahawanan bagi membantu usahawan tempatan di antaranya adalah seperti latihan dan kemahiran, penyertaan usahawan ke ekspo serta ‘showcase’ yang diadakan di dalam dan di luar negara.


Beta juga difahamkan bagi tujuan memperkembangkan lagi perniagaan usahawan-usahawan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menyediakan pelbagai kemudahan skim dana usahawan seperti Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang memperuntukkan sejumlah RM15 juta. Pewujudan TUGAS yang menggabungkan skim-skim sedia ada seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Dana Usahawan Belia Sejahtera (U-BES), Tabung Siti Khadijah (TSK), Dana Prihatin Terengganu (D-HATI) dan lain-lain dilihat sangat tepat bagi memastikan usahawan Terengganu mengembangkan lagi potensi perniagaan dan meningkatkan ekonomi rakyat.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Dalam pembentangan bajet Negeri Terengganu tahun 2019, Beta dimaklumkan Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 20,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dalam tempoh lima (5) tahun. Sebagai permulaan, pada tahun ini sebanyak empat (4) projek Rumah Mampu Milik yang


melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 710 unit rumah akan dibina.
Beta juga difahamkan Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pelaksanaan enam (6) projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam Program Pemajuan Kawasan (PPK). Beta berasa sukacita kerana cadangan projek-projek ini dikhaskan kepada golongan miskin dan miskin tegar.
Beta juga amat gembira dengan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyediakan bantuan binabaharu dan baikpulih rumah kepada rakyat miskin melalui Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS). Peruntukan sebanyak RM30 juta dengan penambahbaikkan pembinaan kos sebuah rumah sebanyak RM56,000 serta baikpulih RM11,000 sebuah rumah mampu mendatangkan manfaat kepada rakyat miskin terutamanya golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal dan juga mangsa bencana alam.


Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta dimaklumkan bahawa Terengganu merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai kemudahan bantuan segera seperti Bantuan Perubatan, Bantuan Sara Diri Tahunan, Bantuan Susu dan Lampin Pakai Buang serta Bantuan Musibah melalui Tabung Darul Iman. Sehingga kini, hampir 25,000 orang telah menerima manfaat menerusi bantuan-bantuan yang dianggarkan mencecah sekitar RM24 juta. Kelangsungan kemudahan bantuan kepada rakyat ini mestilah dipelihara. Justeru itu, Beta menyeru kepada semua pihak untuk turut sama-sama menyumbang kepada Tabung Darul Iman bagi manfaat rakyat yang memerlukan dan kurang berkemampuan.
Dalam masa yang sama, program-program seperti Walimatul Urus Perdana dan penyediaan Kad Sejahtera kepada golongan rakyat yang layak amatlah disambut baik oleh seluruh warga Negeri Terengganu kerana ianya membantu golongan ini berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.


Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Dalam menterjemah program dan projek yang telah dirangka, Beta ingin menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan. Oleh itu, proses perundingan awam perlu diperbanyakkan. Jauhkanlah sikap menjalankan program atau projek semata-mata untuk golongan tertentu sahaja sehingga mengetepikan kepentingan rakyat jelata. Kerajaan Negeri Beta harus berusaha menggembleng setiap kepakaran yang ada pada semua pihak bagi mencapai objektif memajukan Negeri.
Syukur Alhamdulillah Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk menubuhkan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang bertujuan melatih para pendakwah dengan pelbagai ilmu dan kemahiran kontemporari. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu telah mewujudkan Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) iaitu Kelas Pengajian Agama Hujung Minggu kepada mereka yang berumur


25 tahun ke atas. Pada tahun ini, Program SPAIT telah memberikan manfaat kepada 1,955 pelajar untuk menuntut ilmu-ilmu agama dalam subjek Tauhid, Feqah dan Tasawuf.

Beta berharap Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Memanda Beta, Yang Amat Berhormat, Doktor Ahmad Samsuri Bin Mokhtar akan terus komited berusaha memartabatkan lagi Agama Islam dan umat Islam di negeri ini menerusi gerak kerja yang profesional yang berupaya menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekaligus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai Ad-din.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Adalah menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat untuk memimpin dan membimbing rakyat agar sama-sama bersedia bergerak seiring membina sebuah negeri dan negara yang teguh bersatu, sejahtera dan makmur. Oleh yang demikian, sepanjang sidang ini berlangsung, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama.


Beta juga menyarankan agar sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing. Beta yakin negeri dan rakyat akan terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup sekiranya sikap hormat-menghormati dan mematuhi undang-undang dijadikan dasar utama.
Akhirnya, Beta berharap Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta dengan kerjasama padu daripada jentera pentadbiran awam, akan mendapat petunjuk dan bimbingan Ilahi bagi menyempurnakan tanggungjawab dan amanah, secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, amanah lagi berintegriti.
Semoga semua usaha murni ini mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala.  Dengan  lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas Tahun 2019.


Selamat Bersidang.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: