Monday, 1 April 2019

Sidang DUN : Terengganu Sebagai Destinasi Eko-Pelancongan Kompetitif

SHARE

KUALA TERENGGANU, 1 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar kerajaan negeri memberi penekanan kepada menjenamakan negeri Terengganu sebagai destinasi eko-pelancongan yang kompetitif di rantau ini.

Baginda bertitah, pembangunan sektor pelancongan akan merangsang keperluan ke arah penyediaan perkhidmatan sokongan seperti penginapan,  makan minum, industri kraftangan, pengangkutan dan lain-lain.

"Malah, kesan gandaan atau 'multiplier effect' akan dapat dinikmati secara terus oleh rakyat.

"Dalam konteks pelancongan, Beta berharap kerajaan negeri dapat melihat kepada beberapa parameter iaitu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong, tempoh tinggal dan meningkatkan perbelanjaan pelancong di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sultan Mizan bertitah, Garis Panduan Pembangunan Pulau-Pulau Peranginan dan Taman Laut yang telah diluluskan pada bulan Disember 2018 perlu dilaksanakan bagi menjaga kelestarian pulau-pulau peranginan di negeri.

"Beta juga amat sukacita dengan kewujudan Enakmen Taman Negeri Terengganu serta Majlis Pengurusan Taman Negeri dan Beta difahamkan sehingga kini kawasan yang telah diwartakan di bawah Enakmen Taman Negeri Terengganu adalah seluas 30,432 hektar.

"Beberapa kawasan lagi di daerah Setiu termasuk Tasik Berombak masih dalam proses pewartaan dan Beta berasa sukacita apabila Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk mewartakan Pulau Tenggol sebagai Taman Negeri,"titah baginda.

Baginda bertitah, penekanan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada usaha pemeliharaan alam sekitar ini perlu selari dengan trend global.

"Beta percaya kerajaan negeri melalui Majlis Pengurusan Taman Negeri berupaya merancang pengisian terbaik bagi projek ini agar limpahan pembangunan akan dirasai oleh komuniti setempat.

"Oleh itu, Beta mencadangkan agar lebih banyak program bersifat ’community base’ dilaksanakan supaya rakyat dapat menikmati usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan,"titah baginda.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: