Monday, 1 April 2019

Sidang DUN : Sultan Mizan Seru Semua Pihak Menyumbang Untuk Tabung Darul Iman

SHARE

KUALA TERENGGANU, 1 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua pihak untuk menyumbang kepada Tabung Darul Iman bagi manfaat rakyat yang memerlukan dan kurang berkemampuan.

Titah baginda, Terengganu merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai kemudahan bantuan segera seperti Bantuan Perubatan, Bantuan Sara Diri Tahunan, Bantuan Susu dan Lampin Pakai Buang serta Bantuan Musibah melalui Tabung Darul Iman.

“Sehingga kini, hampir 25,000 orang telah menerima manfaat menerusi bantuan-bantuan yang dianggarkan mencecah sekitar RM24 juta.

Kelangsungan kemudahan bantuan kepada rakyat ini mestilah dipelihara,” titah Sultan Mizan.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Sementara itu, baginda bertitah, program-program seperti Walimatul Urus Perdana dan penyediaan Kad Sejahtera kepada golongan rakyat yang layak disambut baik oleh seluruh rakyat negeri ini kerana ianya membantu golongan tersebut berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

Dalam perkembangan lain, Sultan Mizan bertitah, baginda ingin menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan dalam menterjemah program dan projek yang telah dirangka.

“Oleh itu, proses perundingan awam perlu diperbanyakkan. Jauhkanlah sikap menjalankan program atau projek semata-mata untuk golongan tertentu sahaja sehingga mengenepikan kepentingan rakyat jelata.

“Kerajaan negeri harus berusaha menggembleng setiap kepakaran yang ada pada semua pihak bagi mencapai objektif memajukan negeri,” titah baginda.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: