Monday, 1 April 2019

Sidang DUN : Sultan Mizan Seru Kerajaan Negeri Terus Martabatkan Agama Islam

SHARE

KUALA TERENGGANU, 1 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus komited berusaha memartabatkan agama dan umat Islam di negeri ini.

Sultan Mizan bertitah, ianya perlu dilaksanakan menerusi gerak kerja profesional yang berupaya menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekali gus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai cara hidup (ad-din).

Baginda turut melahirkan rasa syukur kerana kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk menubuhkan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang bertujuan melatih para pendakwah dengan pelbagai ilmu dan kemahiran kontemporari.

“Selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu telah mewujudkan Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) iaitu Kelas Pengajian Agama Hujung Minggu kepada mereka yang berumur 25 tahun ke atas.

“Pada tahun ini, Program SPAIT telah memberikan manfaat kepada 1,955 pelajar untuk menuntut ilmu-ilmu agama dalam subjek Tauhid, Feqah dan Tasawuf,” titah Sultan Mizan.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut menyarankan kepimpinan negeri agar sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing.

“Beta yakin negeri dan rakyat akan terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup sekiranya sikap hormat-menghormati dan mematuhi undang-undang dijadikan dasar utama.

“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta dengan kerjasama padu daripada jentera pentadbiran awam diharap akan mendapat petunjuk dan bimbingan Ilahi bagi menyempurnakan tanggungjawab dan amanah, secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, amanah lagi berintegriti,” titah baginda.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: