Thursday, 4 April 2019

Sidang DUN : SM Imtiaz Dungun Perlu Bangunan Yang Lebih Selesa

SHARE

KUALA TERENGGANU, 4 April - Kerajaan negeri disarankan meningkatkan kemudahan asas kepada Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun bagi memberi keselesaan kepada para pelajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, anak-anak yang belajar di sekolah itu tidak mempunyai bangunan asrama yang baik.

“Mereka terpaksa tinggal di penempatan yang ditinggalkan oleh  syarikat perlombongan bijih besi sejak tahun 60 atau 70-an dahulu. Begitu juga satu lagi Imtiaz yang ditinggalkan oleh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di sini semalam.

Justeru itu, Wan Hapandi berharap agar pihak kerajaan, Yayasan Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dapat menyediakan infrastruktur dan binaan baru terhadap sekolah tersebut seperti sekolah Imtiaz di daerah lain.

“Maka saya mengharapkan SM Imtiaz Dungun tidak ditinggalkan kerana kesemua anak-anak kita ini merupakan pelajar cemerlang yang perlu sentiasa diberi perhatian,” ujarnya.

Dalam tumpuan lain, katanya, beliau berharap kerajaan negeri dapat meluaskan konsep 'souq' (pasar) ke daerah lain di seluruh negeri.

"Alhamdulillah saya melihat daerah Kemaman ada Binjai Souq, di Besut Jerteh Souq untuk peniaga dan usahawan kita.

"Konsep itu kita boleh lebar luaskan ke daerah lain khususnya saya sebut untuk daerah Dungun yang mana peniaga dan usahawan kita tiada lagi tempat untuk berniaga. Saya pernah sebut sebelum ini dalam dewan supaya  pihak kerajaan dapat menyediakan satu tempat untuk peniaga bumiputera kita berniaga dan menyediakan prasarana yang lebih baik kepada mereka," tambahnya. 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: