Thursday, 4 April 2019

Sidang DUN : Segera Naik Taraf Dewan Dan Pusat Rekreasi Mesra Wanita

SHARE

KUALA TERENGGANU, 3 April - Kerajaan negeri bersedia menyegerakan kerja menaik taraf dewan dan pusat rekreasi khas mesra wanita yang telah dibentangkan dalam Bajet 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerja ini disegerakan bagi menjamin keselesaan kaum wanita di negeri ini.

Katanya, beliau sedar bahawa kepentingan untuk membina kemudahan ini kerana wanita negeri ini memerlukan tempat riadah yang membolehkan mereka berasa bebas dan tidak terkongkong dengan pelbagai kekangan.

"Untuk peringkat awal, pihak kerajaan akan menguruskannya melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan menguruskan tempat-tempat yang ada di daerah masing-masing seperti dewan, kompleks sukan atau dewan sivik.

"Pada peringkat pertama ini, ada PBT yang menguruskan isu penggunaan tempat dengan pembahagian waktu, bermakna ada masa tertentu untuk lelaki dan masa khusus untuk wanita," ujarnya.

Beliau berkata demikian  ketika berucap menggulung perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke 14, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Wan Sukairi berkata, ini merupakan antara pendekatan awal yang dapat dilakukan sementara melaksanakan kemudahan sukan untuk lelaki dan wanita dengan lebih sempurna menggunakan kos yang tinggi.

Menurutnya lagi, ada juga PBT yang menyediakan beberapa kemudahan asas untuk wanita yang membolehkan mereka beriadah bersama-sama dengan golongan lelaki pada masa yang sama tetapi di tempat yang telah diasingkan.

Sementara itu, PBT Kuala Nerus menjadi daerah pertama yang akan melaksanakan pengasingan kemudahan untuk kaum wanita  iaitu Dewan Sivik Padang Nenas dan Seberang Takir.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: