Wednesday, 3 April 2019

Sidang DUN : Polisi Baharu Rancakkan Projek Perumahan Kategori B

SHARE
Hilmi Harun.
KUALA TERENGGANU, 3 April - Polisi baharu projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan negeri diharap akan merancakkan pembangunan perumahan dalam kategori B.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, rakyat Terengganu yang mempunyai pendapatan isi rumah dalam lingkungan RM3,600 hingga RM4,500 sukar untuk memiliki rumah sendiri.

Jelasnya, kekangan ekonomi dan kekurangan rumah yang dibina dalam kategori B menyebabkan kebanyakan golongan itu tidak mampu membeli rumah yang dibina.

“Ia kerana kita kekurangan rumah yang dibina di bawah kategori B iaitu kategori RM68,001 sehingga RM 185,000 yang berkeluasan 900 kaki persegi.

“Tetapi mereka sebenarnya dalam paksa, mampu dalam paksa dengan kadar bayaran RM400 hinga RM500 sebulan.

“Andai kata perumahan kategori B dirancakkan, umpamanya insya-Allah kita dapat melihat dan mengurangkan malu seorang menantu yang terpaksa menumpang di rumah mentua masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
 
Alias Razak.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, kerajaan akan memperbaharui polisi perumahan yang ada agar memberi lebih keuntungan kepada rakyat dan pemaju.

Kata Alias, polisi baharu itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan mengambil kira semua aspek yang terlibat.

“Kita sekarang dalam masa 6 bulan sedang mengkaji semula dasar ini dan insya-Allah dalam masa yang terdekat, kerajaan negeri akan keluarkan satu dasar baharu.

“Yang kita harap akan memberi lebih mesra pemaju dan tidak mengabaikan tanggungjawab untuk membina RMM untuk rakyat di negeri Terengganu ini, ” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: