Tuesday, 2 April 2019

Sidang DUN : Pembangkang Terengganu Sahut Agenda Penyatuan Ummah

SHARE

KUALA TERENGGANU, 2 April - Agenda penyatuan ummah untuk berjuang membela nasib orang Melayu dan Islam disahut baik oleh pihak pembangkang Kerajaan Terengganu.

Wakil BN-Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, konsep penyatuan ummah diterima baik bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan malahan peringkat akar umbi.

“Bila orang kata konsep penyatuan ummah ini dijadikan suatu gelombang dalam masyarakat kita, orang yang berbual di kedai kopi kata pemimpin atasan tidak ada masalah, kita di kampung ni rasa berat, tetapi tidak sebenarnya, di kampung pun boleh menerima penyatuan ummah.

“Di kawasan saya, pemuda UMNO buat lawatan kasih rumah ke rumah bersama pemuda PAS untuk jalankan program bersama. Ini menandakan konsep penyatuan ummah ini perlu kita jadikan satu asas untuk menyatu padukan masyarakat.

“Orang atas tiada masalah, orang kampung pun boleh terima, lupakan masa yang lalu. Kita bina bersama untuk masa hadapan yang lebih bersatu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: