Monday, 1 April 2019

Sidang DUN : Pelaburan Terengganu RM4.9 Bilion Tahun Lalu

SHARE

KUALA TERENGGANU,  1 April - Terengganu menerima jumlah pelaburan yang tinggi pada tahun lalu iaitu dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.9 bilion.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bertitah, dengan itu pelaburan Terengganu akan terus memainkan peranan yang agresif.

Ini boleh dilaksanakan dengan memastikan ekosistem pelaburan termasuk infrastruktur, gaya hidup dan kemudahan utiliti diperkasakan bagi mengekalkan negeri Terengganu sebagai destinasi pelaburan yang kondusif.

"Kerajaan negeri perlu fokus kepada bagaimana untuk menurunkan 'cost of doing business' (kos untuk melaksanakan perniagaan) di Terengganu bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta," titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di DUN Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali,  Menteri Besar,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,  Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,  Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen dan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Seterusnya,  Sultan Mizan bertitah bahawa baginda dimaklumkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  Negeri Terengganu dijangka tumbuh sederhana sebanyak 5.0 peratus tahun lalu berbanding 5.9 peratus tahun sebelumnya.

Baginda bertitah, ekonomi negeri secara langsung menerima kesan akibat krisis mata wang, kewangan dan perang perdagangan di peringkat global.

"Penyusutan dalam sektor pertanian dan pembinaan telah memperlahankan prestasi keseluruhan KDNK.

"Walau bagaimanapun sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu pertumbuhan dengan peningkatan dalam sub sektor perdagangan borong dan runcit,  utiliti,  pengangkutan dan penyimpanan,  maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan kerajaan," titah baginda.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: