Monday, 1 April 2019

Sidang DUN : Kerajaan Negeri Sasar 20,000 Unit RMM

SHARE


KUALA TERENGGANU, 1 April- Kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 20,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dalam tempoh lima tahun.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, baginda dimaklumkan menerusi pembentangan Bajet Negeri Terengganu 2019, sebagai permulaan pada tahun ini sebanyak empat projek RMM yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 710 unit rumah akan dibina.

“Beta juga difahamkan Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pelaksanaan enam projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam Program Pemajuan Kawasan (PPK),” titah Sultan Mizan.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Baginda turut menyatakan rasa sukacita kerana cadangan projek-projek berkenaan dikhaskan kepada golongan miskin dan miskin tegar.

“Beta juga amat gembira dengan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyediakan bantuan bina baharu dan baikpulih rumah kepada rakyat miskin melalui Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS).

“Peruntukan sebanyak RM30 juta dengan penambahbaikan pembinaan kos sebuah rumah sebanyak RM56,000 serta baikpulih RM11,000 sebuah rumah mampu mendatangkan manfaat kepada rakyat miskin terutamanya golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal dan juga mangsa bencana alam,” titahnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: