Thursday, 4 April 2019

Sidang DUN : 'Dalam Berselam Dangkal Berjingkat’ Langkah Terengganu Tampung Potongan Royalti - MB

SHARE
Peribahasa Melayu jadi sandaran langkah kontingensi Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 4 April - Kerajaan Terengganu merangka langkah kontingensi bagi menampung pemotongan 25% wang royalti minyak dan gas oleh Kerajaan Persekutuan supaya tidak menjejaskan pelaksanaan Bajet 2019 negeri itu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, empat langkah tersebut dirangka berkisar peribahasa Melayu yang berbunyi ‘Dalam berselam, dangkal berjingkat’ yang bermaksud, penghasilan dan pendapatan yang sedikit itu dipada-padakan (cukup-cukupkan).

“Pertama, kerajaan negeri akan melaksanakan perbelanjaan berhemah dengan kadar pemotongan kos yang sesuai terhadap program-program yang telah dijanjikan kepada rakyat tanpa berkompromi dengan objektif yang ingin dicapai dalam setiap program berkenaan.

“Manakala yang kedua, kerajaan negeri akan menuntut hutang-hutang daripada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM1.65 bilion,” katanya ketika membuat penggulungan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri juga akan terus meneroka sumber dan bidang baharu serta meningkatkan kecekapan kutipan hasil supaya lebih efisien dan mendapatkan perolehan kepada negeri.

“Selain itu, kerajaan akan mengkaji penggunaan air oleh syarikat utiliti dan penjualan air kepada negeri-negeri lain tanpa mengorbankan kepentingan air kepada rakyat Terengganu,” katanya.

Dr. Samsuri turut bersetuju dengan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim untuk mewujudkan pasukan petugas (task force) untuk memulihkan projek-projek sakit di negeri itu.

“Tetapi, dengan kewangan yang terhad projek-projek sakit ini akan disusun mengikut keperluan dan keutamaan,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: