Wednesday, 3 April 2019

Sidang DUN : Beri Joran dan Umpan Kepada Golongan B40

SHARE
Dr. Azman kemuka pelbagai bantuan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri kepada golongan B40.

KUALA TERENGGANU, 3 April - Kerajaan Terenggganu telah melaksanakan pelbagai langkah bagi membantu golongan B40 di negeri itu sepanjang hampir setahun mengambil alih pentadbiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bantuan kerajaan itu disediakan dalam kaedah ‘joran dan umpan’ yang bertujuan supaya mereka mampu mengembangkan ekonomi sendiri dan bertahan untuk jangka masa panjang.

“Saya boleh simpulkan, bantuan untuk golongan ini bukan dalam bentuk bagi ‘ikan’. Sebaliknya kita bagi joran dan umpan, supaya mereka boleh mengail sendiri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, perancangan membantu golongan berkenaan difokuskan kepada sektor pertanian, perladangan, perikanan dan penternakan.

“Kita akan jumpa majoriti mereka berada dalam sektor-sektor ini. Mereka biasanya segan dan malu untuk memohon bantuan, maka kita sebagai pemimpin perlu turun mengenal pasti permasalahan mereka dan mengatur langkah yang betul bagi membantu golongan ini. 

“Hasil dari program turun padang yang dilaksanakan, saya kemukakan kepada dewan beberapa contoh langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan B40 seterusnya membantu mereka dalam kegiatan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman dalam Mesyuarat Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Dr. Azman, antara usaha yang dilaksanakan kerajaan adalah menyelenggara tali air dan pengairan semula dan hasilnya, sawah padi yang telah terbiar selama enam tahun di Kampung Pengkalan Nangka kembali menghijau.

“Manakala bagi masalah kekurangan hasil tangkapan nelayan pantai, kita mengadakan program labuh unjam dan tukun untuk memperkayakan semula sumber perikanan.

“Selain itu, menjelang tahun 2020, kawasan Zon A untuk tangkapan nelayan pantai akan diperluaskan daripada lima batu nautika kepada 12 batu nautika supaya zon nelayan pantai mencari rezeki menjadi lebih luas,” katanya.

Kerajaan negeri juga memberikan sepenuh sokongan kepada Syarikat Tenox untuk mewujudkan pusat pemprosesan susu pertama di Terengganu yang berpusat di Pusat Pengembangan Veterinar Jenang, Marang dan bakal beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat bagi memudahkan penternak memproses hasil tenusu.

Dr. Azman sempat menyatakan, masalah yang dihadapi oleh pesawah di Skim Pengairan Jelapang Langkap juga sedang diambil tindakan oleh kerajaan negeri agar kawasan sawah padi seluas lebih 700 hektar tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan B40 dari Kampung Jelapang, Bukit Putera dan Bukit Layat.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: