Wednesday, 24 April 2019

Setiu Rekod Jenayah Terendah

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin
Foto : Ariss Alias

SETIU, 24 April –  Kadar jenayah terendah yang direkodkan Setiu menyebabkan daerah ini tidak mendapat peruntukan khusus sebagai 'Bandar Selamat'.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rekod jenayah yang rendah merupakan satu kebanggaan kepada kepimpinan dan juga penduduk daerah.

Katanya, pun begitu tanpa peruntukan khusus berkenaan, kerajaan negeri tetap meneruskan perancangan pembangunan untuk kemajuan setempat.

"Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Setiu di atas kerja keras dalam memastikan kesejahteraan dan keamanan kita bersama di daerah ini..Susulan itu kita tidak layak mendapat peruntukan Bandar Selamat kerana kawasan yang sudah dikira selamat,” jelasnya.

"Bagaimanapun, apabila bercakap soal kemajuan, kita tidak boleh tiru-tiru dan ikut-ikut orang.  Jangan sekali berfikir untuk maju mesti ada industri macam Kemaman. Itu dipanggil berlawan atas padang yang tidak sama rata,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kayuhan Berbasikal Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bersama Exco Pertanian Dan Komuniti di Kampung Pelong, Sungai Tong, semalam.


Turut bersama dalam program sejauh 15 kilometer itu pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu.

Kayuhan bermula di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek Langkap menuju ke Kampung Pelong agak mencabar peserta berikutan laluan jalan berbukit bukau.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata, Setiu merekodkan jumlah penghuni Melayu tertinggi di Malaysia iaitu 99.93 peratus.

Sehubungan itu, kerajaan memfokuskan daerah berkenaan sebagai 'Daerah Pertanian' bersesuaian dengan persekitaran dan geografinya.


Sementara itu, Dr. Azman berkata, program seumpama itu membuka ruang untuk berinteraksi secara langsung tanpa mewujudkan karenah birokrasi.

"Program santai sebegini sangat baik dan masyarakat kita sekarang ini semakin dekat dengan jabatan. Kita ingin kurangkan jurang birokrasi seminima mungkin sebab matlamat kita duduk sini untuk berkhidmat untuk rakyat.

Katanya, kerajaan di peringkat negeri sebagai pembuat dasar, kakitangan kerajaan pelaksana dasar dan rakyat sebagai orang yang menerima manfaat daripada dasar pula perlu membentuk satu jaringan hubungan supaya tidak ketinggalan maklumat.

"Bila kita dapat maklumat yang tepat, ia memberi ruang kepada kita untuk membuat perancangan yang tepat sesuai dengan keperluan setempat.

"Kita tiada apa-apa kepentingan. Yang kita nak tengok biar rakyat dapat manfaat sebaiknya," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: