Saturday, 6 April 2019

Selepas 10 Tahun, Yahaya Serah Tugas Kepada MB Terengganu

SHARE
Foto oleh : Aziz Hambali

MARANG, 7 April -  Selepas 10 tahun diamanahkan sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Marang, Yahaya Ali menyerahkan tugas itu kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini.

Yahaya Ali yang juga YDP Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata, tokoh yang menggantikan beliau adalah seorang yang sangat berkelayakan kerana mempunyai reputasi yang tinggi dalam masyarakat.

Jelasnya, ketokohan tersebut pastinya akan terus memacu parti itu khususnya di kawasan Marang  ke arah yang lebih cemerlang.

"Saya boleh gambarkan bahawa untuk jawatan Yang Dipertua Kawasan insya-Allah tidak akan berlaku pertandingan.

"Saya yakin orang yang dipertanggungjawab untuk menerajui PAS Marang akan melakukan banyak lagi perubahan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang, di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.
Yahaya Ali tidak mempertahankan jawatan.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan  Marang, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman serta Persatuan isteri wakil rakyat dan isteri bekas wakil rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Zarani Othman.

Yahaya yang memegang jawatan bermula tahun 2009 turut berkata, ketekunan ahli di semua peringkat telah berjaya mengangkat dan membangunkan parti itu ke tahap yang lebih tinggi.

Ujarnya, perkara itu terbukti apabila PAS berjaya memenangi kesemua DUN dalam daerah Marang.

"Saya rasa bersyukur kerana saya menyerahkan PAS kawasan dalam keadaan yang stabil.

"Saya serah balik kita telah berkuasa kembali sebagai kerajaan di mana Marang menyumbang 4 kerusi DUN termasuk dengan kemenangan DUN Pengkalan Berangan.

"Kita juga mempunyai bangunan PAS kawasan sendiri, Dewan Tuan Guru, sebuah sekolah rendah Islam Madrasah Darul Iman, sebuah van untuk Pusat Khidmat PAS Marang," tambah beliau.

Mesyuarat agung tahunan yang sedang berlangsung itu turut mengekalkan Mohd Nor Hamzah dan Ariffin Deraman selaku timbalan serta naib yang dipertua untuk sesi 2019/2021.

Mesyuarat itu menyaksikan hanya jawatan Ahli Jawatankuasa sahaja dipertandingkan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: