Saturday, 13 April 2019

'Saya Sedia Disiasat' - MB Terengganu

SHARE
Dr Ahmad Samsuri.
SETIU,  13 April - "Saya sedia disiasat, " kata Menteri Besar,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata,  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat beberapa akaun bank miliknya untuk mengetahui sendiri kedudukan kewangan dalam akaun tersebut bagi menafikan dakwaan kononnya beliau turut memiliki wang berjuta ringgit termasuk dalam RM3.5 juta dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disumbangkan kepada PAS. 

“Hebatlah saya kalau macam itu. Saya ada beberapa akaun bank dan SPRM boleh siasat. Jangan kata RM3.5 juta, setengah juta pun saya tak ada,” katanya.

Serentak itu Dr Ahmad Samsuri yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat menafikan PAS  negeri Terengganu menerima wang sebanyak itu. 

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk disiasat SPRM jika benar wujud salah laku dan perlanggaran undang-undang.

“Jika ada kes, SPRM boleh ambil tindakan pada mana-mana pihak yang langgar undang-undang, tak kiralah mana-mana parti sekali pun. Kita sedia disiasat pada bila-bila masa,” katanya selepas pelepasan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu 2019 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, di sini, petang ini.

Ditanya dakwaan sesetengah pihak mengaitkan beliau menerima dana RM3.5 juta itu, Dr Ahmad Samsuri hanya ketawa dan menafikannya.

Beliau mengulas laporan terbaru memetik sumber SPRM mengenai pemberian RM3.5 juta kepada PAS Terengganu iaitu sebahagian daripada RM90 juta yang didakwa diterima PAS.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: