Saturday, 6 April 2019

Sasaran Lulus 25 Ribu Pemohon Lesen Motosikal Percuma Hampir Tercapai

SHARE
Foto oleh: Wan Luqmanul Hakim
KUALA NERUS,  6 April - Sasaran meluluskan seramai 25 ribu orang pemohon lesen motosikal percuma tahun ini hampir tercapai sejak ia dibuka secara dalam talian dan manual baru-baru ini.

Kerajaan negeri hanya memerlukan seramai kira-kira lebih 700 orang pemohon lagi untuk mempercukupkan bilangan tersebut sebelum urusan selanjutnya dilaksanakan.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan,  Belia dan Badan Bukan Kerajaan negeri,  Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mengikut angka yang disenarai pendek,    kerajaan negeri kekurangan lebih 700 orang lagi pemohon program tersebut.

"Kita (kerajaan) akan berusaha untuk mencukupkan jumlah 25 ribu orang itu secepat mungkin.

"Kita sedang usaha untuk jejaki mereka ataupun pilih mana yang layak (dalam senarai sedia ada) untuk mengisi tempat yang masih lagi kosong, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Hari Kereta Wira Edisi Ketiga 2019 di Terengganu International Drag Strip Gong Badak di sini hari ini.
Turut hadir Da'i Sejuta Ummah,  Ustaz Azhar Idrus.

Seterusnya Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menasihatkan kepada peserta yang berjaya agar segera mengambil baucer dan mengikuti ujian dan latihan yang disediakan oleh pihak Institut Memandu (IM).

"Hubungi mereka,  daftar,  ikuti kelas dan sebagainya serta bersiap sedia daripada sekarang supaya tidak berlaku gagal dalam ujian komputer ataupun gagal dalam latihan motosikal itu.

"Ini bertujuan supaya peserta tidak perlu membuat bayaran tambahan sebab dalam program ini kita tidak membantu mereka yang gagal, " jelasnya.

Ertinya kata beliau, peserta yang gagal  perlu membayar sendiri bayaran ujian kali kedua selepas gagal ujian kali pertama sebanyak RM10 sahaja.

Sementara itu katanya, bermula 4 April lalu, pemohon yang mengisi borang secara dalam talian atau manual,  boleh semak status masing-masing sama ada berjaya atau sebaliknya.

Menurut beliau mulai 15 April ini,  kelas atau ujian memandu akan bermula.

"Selepas peserta mendapat maklumat bahawa mereka telah berjaya dalam permohonan  itu,  mereka boleh mendapatkan baucer daripada pejabat daerah masing-masing.

"Kemudian baucer itu dibawa ke institut IM yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

"Sehinggalah mereka lulus ujian berkomputer terlebih dahulu dan selepas mereka mendapat lesen 'L',  mereka boleh pula pergi ke pejabat daerah untuk menuntut baucer yang kedua," jelasnya.

Seterusnya kata Ustaz Wan Sukairi, mereka perlu menjalani  ujian dan latihan sehingga mereka dapat lesen penuh.

Setakat ini katanya,  ada 12 buah IM di seluruh Terengganu yang terlibat dalam program tersebut.

"Jumlah pemohon program tersebut sehingga 1 Mac baru-baru ini seramai ialah 49,193 orang.

"Dan daripada jumlah itu, kerajaan negeri memilih hanya 25 ribu orang sahaja pemohon kerana itulah jumlah bajet 2019 yang ditetapkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini," jelasnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: