Friday, 5 April 2019

Saman RM30 Juta : Kerajaan Negeri Ada Hujah Tersendiri

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
MARANG, 5 April - Kerajaan negeri mempunyai hujah dan kaedah tersendiri bagi menyelesaikan kes saman RM30 juta yang difailkan waris rumah pusaka di Kampung Tanjung baru-baru ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kaedah yang terbaik akan dilaksanakan mengikut prosedur bersesuaian dengan kes itu.

Jelasnya, isu tersebut juga telah memasuki peringkat perundangan yang memerlukan butiran dan ketepatan fakta kes.

"Oleh kerana perkara ini telah pergi ke mahkamah, kita menyerahkan urusan ini kepada mahkamah.

"Kerajaan negeri ada hujah-hujah tersendiri yang tak wajar untuk saya jelaskan di sini, cuma kita nak maklum bahawa kita (kerajaan negeri) telah melakukan apa yang terdaya mengikut peraturan yang ada," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala YAB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, di sini semalam.

Difahamkan, sebagaimana rekod yang terdapat di Pejabat Tanah Kuala Terengganu pada 6 November 2016, didapati bahawa tanah berketerangan Lot 2795 ini adalah merupakan tanah kerajaan dan tidak pernah didaftarkan di atas mana-mana nama pemilik individu melalui laporan di pautan https://www.teganukita.net/2018/11/isu-roboh-rumah-di-kampung-tanjung-apa.html?m=1.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs), Mohamad Embong serta Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof.

Pada 19 Mac yang lalu, waris rumah pusaka di Kampung Tanjung telah mengemukakan saman sivil terhadap Pentadbir Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu serta kerajaan negeri.

Saman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu difailkan atas tindakan meroboh kediaman itu pada 21 November 2018.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 April ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: