Wednesday, 10 April 2019

Ruksyah `Solat Kritikal'

SHARE
 penceramah bebas, Haji Mohd Syukri Haji Ali menerima cenderahati daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil selepas program 

KUALA TERENGGANU, 10 April - Solat menjadi sumber kekuatan orang Islam yang diamalkan sejak dahulu termasuk oleh pemimpin terdahulu, ‘Pembuka Kota Konstantinopel’, Sultan Muhammad Al-Fateh.

Mufti Negeri Terengganu, Dato' Dr. Zukiply Muda berkata, kekuatan solat adalah perkara pertama dalam hidup seorang muslim.

“Semua orang tahu sembahyang bukan ‘saja-saja’ tetapi solat itu ada peraturan dan diabadikan  dalam satu kalimah mendirikan sembahyang.

“Kekuatan Saidina Othman ialah sembahyang malam, sujud, takut dan selalu mengharapkan rahmat Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program Muhadharah Perdana Solat Kritikal di Dewan Konvensyen Wisma Darul Iman, di sini, semalam.


Sementara tu, penceramah bebas, Mohd Syukri Ali berkata, program yang diadakan pada hari ini untuk mendedahkan kepada masyarakat tidak ada alasan untuk tidak meninggalkan solat fardu.

Katanya, solat bukanlah perkara yang kritikal kepada kehidupan seharian tetapi kerana berdepan dengan suasana yang tidak kondusif menyebabkan seolah-olah ia membebankan.

“Kita berdepan dengan suasana yang menyebabkan  kita sangat terdesak untuk melaksanakan solat, sebagai contoh doktor yang membuat pembedahan, balai bomba, balai polis.

“Bila saya buat kajian begini rupanya masyarakat kita jauh sikit kefahaman untuk memahami ruksyah (keringanan) supaya kita tidak meninggalkan solat,” jelasnya.

Tegasnya, keringanan yang diberikan Allah kepada umat Islam sangat luas termasuk bertayamum dengan menepuk bantal atau pakaian sekiranya tidak terdapat debu di persekitaran.

Sebelum itu, beliau berkata dalam ceramahnya pada majlis tersebut, petugas yang membabitkan kerja-kerja keselamatan dan kepentingan orang ramai boleh melakukan solat ‘jamak’ tetapi tidak ‘qasar’.

“Saya buat kajian di beberapa buah jabatan yang kritikal antaranya menara kawalan penerbangan, hospital ataupun di balai bomba dan balai polis.

“Maka dalam keadaan (sibuk) yang tidak dapat dielakkan itu  boleh menggunakan ruksyah yang diberikan syariah untuk mengelakkan kita meninggalkan solat,” katanya.

Menurut beliau, 80 peratus pesakit beragama Islam yang dirawat  di hospital, tidak menunaikan solat dengan pelbagai alasan menggambarkan masyarakat masih jauh daripada kefahaman Islam sebenarnya.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: