Wednesday, 24 April 2019

Rakyat Perlu Ambil Peluang, Kerajaan Akan Sedia Ruang – MB Terengganu

SHARE
Dr. Samsuri mahu manfaat pembinaan ECRL dirasai dan digunakan sebaik mungkin oleh rakyat Terengganu. 


MARANG, 24 April – Kerajaan negeri mahu rakyat mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi meningkatkan ekonomi diri.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek berkenaan dapat membantu rakyat sekiranya dimanfaatkan dengan baik.

“Perlu ada kerjasama erat antara kontraktor dan syarikat milik anak negeri supaya penduduk tempatan dapat terlibat dalam aktiviti pembinaan ini melalui pelbagai cara.

“Ada beberapa lagi aspek yang perlu pertimbangan kerajaan negeri dalam projek ini dan kita ambil ruang berkenaan supaya dapat membantu syarikat-syarikat  ini terlibat sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hentian Bas Marang yang baru siap dibina dengan nilai RM2 juta, di bandar Marang, di sini, malam tadi.

Hentian Bas Marang bakal jadi pusat hubungan penting bagi daerah Marang bersama hentian ECRL Pengkalan Berangan yang bakal dibina. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Yang Dipertua Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim serta Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Dr. Samsuri berharap pembinaan ECRL akan merancakkan aktiviti ekonomi di dalam negeri selain turut mengesahkan terdapat pelbagai peluang pekerjaan dalam projek tersebut.

“Saya juga mendapatkan kepastian pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) sama ada akan berlaku kebanjiran pekerja asing, tetapi dimaklumkan pihak China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) hanya mendatangkan tenaga pakar tanpa meminggirkan Bumiputera.

“Pekerja-pekerja asing itu juga akan ditempatkan di kuarters mereka dan ini juga boleh membantu aktiviti ekonomi seperti membekalkan bahan-bahan mentah dan sebagainya ke kuarters mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat mengambil manfaat projek itu dengan mengembangkan ekonomi setempat.

“Rakyat tempatan perlu ambil peluang ini dan jangan biar orang luar yang tiada kaitan dengan Terengganu ambil kesempatan,” katanya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: