Sunday, 21 April 2019

Penduduk Gempar Jumpa Bayi Di Wakaf

SHARE

Bayi ditemui di wakaf berkenaan.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 21 April - Penduduk Felda Jerangau digemparkan dengan penemuan bayi cukup sifat berusia seminggu, pagi tadi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau Cawangan Dua, Anuar Omar berkata, bayi berkenaan ditemui di Wakaf Mozek, di Jalan Jerangau Jabor berhampiran kawasan felda.

"Bayi itu ditemui oleh seorang peneroka yang hendak ke ladang, sejurus selepas itu telah dilaporkan kepada balai polis berhampiran.

"Penemuan pada pukul 7.30 pagi dan saya sebagai pengerusi MPKK bersimpati di atas kejadian ini, dan ini merupakan kali pertama kita dikejutkan dengan perkara seumpama ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media sebagai mengulas penemuan bayi berkenaan, di sini, hari ini.

Anuar juga memaklumkan telah merujuk kepada Klinik Kesihatan Felda Jerangau untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan penemuan itu.

Bayi berusia seminggu.

"Rekod didapati dari Klinik Kesihatan Felda Jerangau bahawa ibu-ibu yang sedang dan telah mengandung semuanya berada dalam pantauan dan jagaan.

"Ringkasannya yang boleh dibuat, kes itu tiada kaitan dengan penduduk di sini, besar kemungkinan orang luar yang meninggalkan bayi berkenaan dan wakaf itu pula terletak di lebuh raya," jelasnya.

Tambahnya, bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Besar Dungun untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kes tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Daerah Dungun.

Beliau juga menegaskan, tiada sebarang dokumen atau bukti berkaitan bayi itu yang ditemui sebagaimana yang dihebahkan di media sosial.


Anuar bersama bayi berkenaan di Hospital Dungun.

"Saya mengharapkan agar tiada sebarang spekulasi ataupun tanggapan negatif yang dilakukan terhadap perkara ini.

"Apa yang terjadi mungkin ada perkara disebaliknya yang tidak kita ketahui, lagipun bayi berkenaan dijumpai dalam keadaan yang sihat, dan berpakaian lengkap dan bersyukur ditemui dalam keadaan yang selamat," ujar beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: