Tuesday, 16 April 2019

Pelajar Terbaik STAM Teruja Berbicara Dengan Tokoh Alumni

SHARE

Oleh : Aziz Hambali

KUALA TERENGGANU, 15 April - Sekumpulan pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir teruja mendengar nasihat terakhir sebelum meninggalkan tanah air oleh Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sebuah majlis Bicara Tokoh Alumni Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, di Dewan Fikri di sekolah itu, di sini, semalam.

Wakil pelajar berkenaan, Muhammad Mujiburrahman Muhammad 20, dari Kampung Rantau Abang, Dungun berasa gembira kerana berpeluang mendengar pesanan berharga `Ayah Chik' sebelum berangkat ke Mesir.

"Alhamdulillah, bertuah sungguh saya rasa hari ni, slot bicara tokoh alumni bersama Tuan Guru Abdul Hadi sebentar tadi cukup memberi inspirasi kepada saya khususnya untuk pergi lebih jauh lagi,

"Siapa sangka SMAASZA merupakan tempat tok guru belajar berpidato, menguasai bahasa Arab sebelum beliau melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sehingga berjaya saat ini menjadi ulama yang terkenal seantero dunia. Hal ini sangat memberi dorongan dan azam kepada saya untuk mengikut jejak langkah beliau, doakan,"katanya.


Pada kesempatan itu juga, dia mewakili pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di SMAASZA Kuala Terengganu bersyukur dan berterima kasih kepada pihak sekolah kerana memilih mereka untuk ke Mesir, selain dapat menjayakan program yang amat bermanfaat seperti itu.

Pelajar terbaik STAM SMAASZA 2019 itu berkata, ramai pelajar yang pergi menuntut ilmu di luar negara. Bagaimanapun, apabila pulang ke tanah air mereka tiada dalam lapangan masyarakat dan berharap perkara seumpama itu tidak berlaku kepada mereka.

Dalam perkembangan yang sama, menurut Pengarah Sekretariat Pengurusan Pelajar Ke Mesir 2019 ILMAM Terengganu, Mohd Zahani Abdul Ghani, kesemua pelajar yang akan berangkat ke Mesir seramai 78 orang pada 19 April ini.


"Mereka yang akan ke Mesir terdiri daripada lima institusi pengajian yang berbeza-beza, antaranya Institut Pengajian Islam (INSPI), Ma'ahad Tahfiz Tarbiyah, Tok Jiring (MTT), SMAASZA, Kolej Al-Quran Terengganu, Padang Midin (KQT) dan sekolah persendirian (Pondok),"katanya.

Tambahnya lagi, pada tahun lalu, seramai 71 pelajar melanjutkan pengajian ke Mesir dalam pelbagai bidang pengajian, berbanding tahun ini, seramai 78 pelajar pula berpeluang meneruskan pengajian di negara Timur Tengah itu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: