Monday, 22 April 2019

Pegawai Veterinar Negeri Sembilan Meninggal Dunia di Hari Pertama Kursus

SHARE
Ghazali dan kakitangan kawasannya ambil tanggungjawab uruskan jenazah sebelum dibawa pulang ke NS.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 22 April – Seramai 40 peserta Kursus Asas Penjagaan Kambing dari Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dikejutkan dengan kematian pegawai pelatih kursus berkenaan, Zailani Ibrahim, 56, hari ini.

Allahyarham yang dijadualkan bertugas mengendalikan kursus berkenaan bermula hari ini, ditemui meninggal dunia dalam bilik tidur di Pusat Veterinar Cermin Kiri pada jam 8.45 pagi ini oleh kakitangan pusat itu, Rokeni Hassan Hamzah.

"Semalam beliau mula mengadu sakit dan telah mendapat rawatan di klinik berdekatan. Allahyarham dikatakan memiliki kompilasi penyakit kencing manis, buah pinggang dan lelah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian tersebut telah dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham di Kampung Jiboi, Negeri Sembilan dan si mati dipercayai masih belum mendirikan rumah tangga berdasarkan sumber terdekatnya.
 
Pemergian Allahyarham di hari pertama kursus kejutkan peserta.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman sebaik menerima perkhabaran berkenaan bergegas datang bersama sebahagian kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Bukit Besi untuk  menguruskan jenazah.

"Ini merupakan fardu kifayah yang wajib ke atas kita untuk disegerakan. Kita melaksanakan segala urusan bermula dari memandikan, mengkafankan sehingga menyempurnakan solat jenzah sebelum Allahyarham dihantar pulang,” katanya.

Menurut Ghazali, proses pengurusan itu turut dibantu oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jerangau, Arfan Tahir dan kakitangannya serta urusan menghantar pulang jenazah dilakukan pemandu van jenazah Parlimen Dungun.

"Alhamdulillah urusan di sini berjalan lancar dan semoga dengan bantuan ini akan memudahkan proses pengebumian jenazah di sana," katanya.

Kerjasama MPKK dan i-MiTS segerkan proses pengurusan jenazah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: