Friday, 5 April 2019

Pasukan MB Juara Kejohanan Menembak ADUN Terengganu

SHARE
Barisan pemenang kategori individu, Amairudin (berbaju hijau) juara dengan mengutip 82 mata.
SETIU, 4 April - Pasukan yang diwakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dinobatkan juara bagi kategori jatuhan piring dalam Kejohanan Menembak Antara Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, hari ini.

Pasukan yang turut diwakili Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Ketua Polis negeri, Dato' Aidi Ismail, Timbalan Mufti negeri, A. Hadi Othman serta Ketua Polis Daerah Setiu, Zulkifli Mat Deris itu melakukan jatuhan piring dalam masa 22.65 saat sekali gus menewaskan 10 pasukan lain.

Kejohanan anjuran DUN dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) negeri dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu diadakan di Lapang Sasar Lembah Bidong, di sini, sempena Penggal Kedua Persidangan DUN Terengganu Keempat Belas yang berakhir hari ini.

Hadir sama menyertai kejohanan ialah ADUN-ADUN, pegawai-pegawai kanan PDRM, MSNT dan Persatuan Menembak Negeri Terengganu.

Turut mencuri tumpuan, mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang bersaing dalam acara tersebut, namun pasukannya hanya menduduki tempat ketiga setelah tewas tipis kepada pasukan Dr. Samsuri.

Dr. Samsuri antara pembidik dengan jatuhan piring tertinggi dalam pasukannya.
Dr. Samsuri dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas penganjuran kejohanan tersebut dan menyifatkan ia mencapai objektif sebenar ia diadakan.

“Tujuan utama kita ialah untuk merapatkan silaturrahim antara pemimpin-pemimpin dalam negeri dan objektif ini berjaya dengan aktiviti santai ini.

“Terima kasih juga kepada kaum wanita yang turut menyertai kejohanan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yahaya sebagai penganjur kejohanan turut memaklumkan, kejohanan tersebut bakal diadakan setiap kali sidang DUN bagi tahun ini.

“Bukan soal juara yang kita utamakan. Program ini diadakan bagi meningkatkan hubungan ukhuwah sesama kita selepas bersidang.  

“Selain kejohanan boling yang diadakan tahun lalu, acara menembak ini menjadi salah satu aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak DUN,” katanya.
 
Exco Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut ambil peluang sertai kejohanan.
Kejohanan tersebut disertai oleh 59 peserta lelaki dan 28 peserta perempuan dalam dua kategori iaitu acara berpasukan jatuhan piring dan individu Central Fire (target).

Bagi kategori lelaki, individu Central Fire dimenangi oleh ahli Persatuan Menembak negeri, Amairuddin Alias.

Manakala, kategori perempuan dimenangi oleh isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, To’ Puan Aida Tengah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: