Sunday, 21 April 2019

Nelayan Kg Pasir Putih Terima Mesin Tarik Bot

SHARE

Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 21 April - Kerajaan negeri mengagihkan sumbangan mesin khas dan beberapa kelengkapan lain membabitkan peruntukan hampir RM10,000 yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah menarik bot nelayan ke daratan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, kemudahan mesin menarik bot itu mampu menyelesaikan masalah yang dialami puluhan nelayan di Kampung Pasir Putih, di sini  sejak sekian lama.

“Saya berharap nelayan berkaitan sepakat menjaga dan  mengunakan kelengkapan bernilai RM9,550 itu sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Mesin, Kampung Pasir Putih, di sini baru-baru ini.


Katanya, penduduk bersama-sama golongan nelayan di kawasan itu bergotong-royong memasangnya  untuk menjimatkan kos.

"Kita amat suka dan menggalakkan aktiviti pemasangan seperti ini kerana ianya bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malahan juga mampu memperkuatkan ukhuwah sesama kita serta sifat bertanggungjawab dapat dipupuk,” katanya..

Wakil nelayan Kampung Pasir Putih, Azmi Abdullah, 58, mengucapkan terima kasih di atas sumbangan itu.

"Insya-Allah masalah ini akan dapat diselesaikan dan kita akan menyiapkan pemasangan enjin ini supaya penggunaannya dapat dipercepatkan," kata beliau ketika ditemui pemberita.

Dalam tumpuan sama, Ketua Pemuda PAS Kampung Pasir Putih, Azfar Ismail, 32, meluahkan rasa terharu dan berterima kasih di atas tindakan cepat yang diambil oleh pihak Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Terima kasih yang teramat sangat kepada YB (Yang Berhormat) di atas pemberian ini dan bagi saya, pengundian kita kepada PAS bukan sesuatu yang sia-sia, kebajikan kita sebagai rakyat amat diberi perhatian," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: