Monday, 8 April 2019

Murid Tahun 4 Lemas Di Sungai Manir Akhirnya Ditemui

SHARE

Oleh: Ahmad Mawardi

KUALA TERENGGANU, 8 April - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Manir berhampiran jeti Teluk Menara, Manir, di sini berakhir semalam.

Mayat Ahmad Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, 10 tahun, ditemui terapung kira-kira 10.30 malam Ahad.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata, mangsa ditemui sekitar jarak 10 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

"Menerusi pencarian pada sebelah malam, kita telah melakukan pencarian di permukaan merangkumi jarak lebih dua kilometer sebelum mengesan mayat mangsa yang terapung berhampiran jeti," katanya.

Pihak yang terlibat dalam membantu operasi ini ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan penduduk kampung.


Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim mengadakan lawatan untuk meninjau tempat kejadian serta bertemu bapa mangsa.

Turut hadir, Pegawai Khas ADUN Manir, Ustaz Suqiman Tahar.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: