Saturday, 20 April 2019

Menjaga Kesihatan Adalah Satu Tuntutan

SHARE

Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 19 April - Setiap individu disaran supaya sentiasa cakna akan kesihatan agar segala urusan kerja seharian dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kesihatan merupakan aset yang amat bernilai dalam kehidupan setiap manusia dan perlu sentiasa dijaga serta diberi perhatian dengan sebaik mungkin.

Jelasnya, Islam turut menitikberatkan penjagaan kesihatan dengan menggariskan lima perkara asas, salah satunya ialah penjagaan kepada nyawa yang antara lain menfokuskan kepada kesihatan.

“Kesihatan adalah satu perkara yang sangat penting, kalau kita tengok dalam Islam meletakkan lima perkara asas, salah satunya ialah penjagaan kepada nyawa yang berkait rapat juga dengan penjagaan kepada kesihatan,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena program Pusat Khidmat Bergerak di Dewan Surau As-Salam, Batu Buruk,semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Kawasan Kuala Terengganu, YB Haji Ahmad Amzad Hashim, Penghulu Chendering, Ayub Abdul Rahman, Pengerusi MPKK Raja Baran, Tuan Ngah Tuan Ahmad dan seluruh pegawai-pegawai Insitut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) Dun Batu Buruk.

Muhammad Khalil yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri turut berkata, kawasan Kuala Terengganu diiktiraf sebagai kawasan paling bahagia di Malaysia berdasarkan kajian yang diiktiraf oleh kerajaan pusat. Sudah tentu antara faktor yang mengundang kepada kebahagian ialah cara hidup yang sihat.

“Apabila kita sihat, bagi orang Islam ia akan membantu kita untuk beribadah kepada Allah S.W.T kerana itu tujuan kita hidup,”.

Program itu dianjurkan secara bersama oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Raja Baran, Pusat Khidmat ADUN Batu Buruk, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu Medical Team
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: