Wednesday, 17 April 2019

Medan Ilmu Bakal Diwujudkan Di Dataran Berbumbung Piramid Bukit Besi

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 17 April- Dataran berbumbung piramid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bakal menjadi medan ilmu bagi masyarakat sekitar apabila siap sepenuhnya Mei nanti.

Pegawai Penyelaras  Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ghazali Sulaiman berkata, medan ilmu yang bakal diwujudkan itu  merupakan aspirasi dari perkembangan ilmu yang berlaku sejak zaman berzaman di Masjid Rusila Marang dan Medan Ilmu Tok Guru di Kota Bharu Kelantan.

“Saya optimis dan cukup yakin bahawa dengan kewujudan medan ilmu ini ianya akan lebih membantu dalam membina dan mewujudkan kesejahteraan dikalangan masyarakat setempat.

“Projek ini merupakan projek kerajaan terdahulu yang menelan belanja hampir empat juta, Insya-Allah kita akan memanafaatkannya sebaik mungkin dengan program yang bermanafaat dan saya juga bercita-cita agar medan ilmu ini nanti akan menjadi salah satu aspek yang menarik dari sudut pelancongan selain kita mempunyai tempat-tempat yang menarik di Bukit Besi ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media, ketika meninjau projek berkenaan di Bandar Baru Sri Bangun, Bukit Besi, di sini hari ini.

Katanya lagi, beliau turut merancang apabila bangunan itu siap nanti akan diwujudkan pusat niaga mingguan.

“Ianya bagi membantu usahawan setempat dan juga berhasrat untuk membantu golongan mereka yang terlibat dengan asas tani dari Hulu Dungun, iaitu mereka yang dari Kampung Jongok Batu, Kuala Jengai, Kampung MInda, Kampung Talong dan lain-lain bagi memasarkan hasil tani mereka sendiri di dataran ini dan berpeluang untuk mendengar kuliah,’’ ujar Ghazali.

Medan Ilmu itu menurutnya masih belum diberikan nama, namun tidak menolak kemungkinan akan menamakan dataran berkenaan dengan nama-nama tokoh yang hebat didalam sejarah Islam.

“Inilah masanya bagi kita membuktikan bahawa kerajaan Terengganu memang bertekad dan beriltizam untuk membina masyarat dengan nilai ketamadunan yang tinggi mengikut acuan Islam dalam masa yang sama tidak menolak arus pembangunan dan kemodenan serta meransangkan aktiviti perniagaan kearah kehidupan masyarakat yang lebih baik,” tegas beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: