Friday, 5 April 2019

MB Terkejut Sambutan Karnival Kewangan Terengganu

SHARE
Dr Ahmad Samsuri (kanan) menandatangani plak Pelancaran Minggu Amal Untuk Alam sebuah bank di sebuah hotel di Kuala Nerus semalam. Turut menyaksikan gimik pelancaran itu, Syukor Khamis (tengah), ikon Kampong Boy Terengganu yang popular dengan kerbaunya.
KUALA NERUS, 5 April - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terkejut dengan sambutan rakyat Terengganu dari semua lapisan masyarakat terhadap Karnival Kewangan Terengganu di sebuah hotel di sini semalam.

Ini kerana katanya, urusan kewangan merupakan aspek yang serius bersangkut dengan sistem perbankan dan perkembangan ekonomi serta perniagaan.

"Saya datang terkejut tengok, dengan semua lapisan masyarakat Terengganu datang melawat karnival ini termasuk pelajar sekolah rendah.

"Mereka mahu mengetahui bagaimana sistem urusan kewangan dan ekonomi berfungsi di negara ini. Mereka adalah pelanggan yang akan diberi pendedahan bagaimana mereka boleh melibatkan diri dalam sistem tersebut," ujarnya.

Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) begitu serius mendengar taklimat kewangan dari seorang kakitangan sebuah bank di Karnival Kewangan Terengganu Kali Kelima di Kuala Nerus semalam.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan satu portal pelaburan kewangan dan melawat booth-booth agensi perbankan dari seluruh negara di karnival berkenaan.

Turut hadir dalam sidang media itu, Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya.
Karnival itu berlangsung selama tiga hari mulai semalam hingga 6 April ini.

Ketika mengulas tentang karnival berkenaan, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, karnival kewangan itu adalah satu karnival yang sangat penting kepada rakyat negeri Terengganu.

Ini kerana katanya, fahaman masyarakat perlu diperbetulkan bahawa urusan bank bukan hanya untuk golongan peniaga dan orang kaya semata-mata tetapi sebaliknya ia adalah untuk semua rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.


"Sebelum ini, orang yang ada duit sahaja pergi ke bank atau dapat khidmat bank tetapi sebenarnya bank adalah merupakan satu institusi yang dekat dengan seluruh rakyat dalam negara kita.

"Tambah lagi dalam keadaan sekarang, punca kuasa bank itu ada dalam poket masing-masing. Jadi tentulah peranan sistem kewangan yang ada di dalam negara kita ini adalah penting dan dekat dengan kehidupan kita sehari-hari," jelasnya.

Dalam masa yang sama katanya, negara berdepan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0 di mana semua aktiviti kehidupan dan pengurusan kewangan perlu dijuruskan ke arah menyahut cabaran tersebut.

"Tentulah cabaran yang kita hadapi di masa hadapan adalah satu cabaran yang lebih besar.

"Bank perlu bertemu dengan pelanggannya iaitu rakyat dalam sesebuah negeri itu termasuk yang datang pada hari ini untuk mendapat maklumat tersebut," jelasnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: