Thursday, 25 April 2019

MB Terengganu Rai Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan 2019

SHARE
Menteri Besar menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi-agensi yang menyertai KKZ 2019.
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Terengganu mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), agensi-agensi zakat negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) seluruh negara atas kunjungan ke negeri itu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meraikan dan mengalu-alukan kedatangan para peserta walaupun program berlangsung dalam tempoh yang singkat iaitu selama dua hari.

“Kami merasa bertuah dikunjungi rakan-rakan dari pelbagai negeri. Semoga peserta dapat memanfaatkan program dan menambah pengetahuan tentang agensi zakat.

“Kerajaan negeri juga membuka tangan seluas-luasnya kepada sebarang program bermanfaat yang ingin dianjurkan di sini pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan penutup Kembara Zakat (KKZ) 2019 Peringkat Kebangsaan dalam Majlis Makan Malam bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai kanan negeri serta kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Turut hadir, Yang Dipertua MAIDAM, Othman Muda dan Ketua Pengarah JAWHAR, Ruslan Said selaku penganjur utama program.
 
Kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang program yang bermanfaat di negeri ini - Dr. Samsuri.
Majlis berkenaan diadakan sempena kejayaan penganjuran KKZ yang terbesar kali ini serta bagi meraikan sekitar 20 jabatan terdiri daripada agensi zakat dan MAIN dengan hampir 200 peserta konvoi.

KKZ merupakan acara tahunan kali ketujuh yang telah diadakan sejak tahun 2012 di negeri-negeri berlainan.

Tahun ini, KKZ menjelajah ke tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang bagi mempromosikan institusi zakat agar masyarakat mendapat maklumat selain menyampaikan sumbangan kepada asnaf-asnaf yang ditemui.

Dr. Samsuri turut berharap agar program yang diadakan memberi manfaat kepada peserta dan masyarakat setempat.

“Sebelum pulang, saya berdoa semoga negeri kita dicucuri rahmat Allah SWT dan semoga pertemuan ini akan menjadi kenangan terindah tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: