Monday, 8 April 2019

MB Terengganu Kongsi Kegembiraan Kejayaan Harrif Di LTdL

SHARE
Harrif mengangkat tangan sebaik mendahului di garisan penamat untuk  mucul juara di pusingan kedua, semalam. Kredit foto : Sprint cycling magazine


Kejayaan pelumba Terengganu Cycling (TSG), Mohd Harrif Salleh menjuarai peringkat kedua dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 petang semalam, memberi kegembiraan dan membanggakan seluruh rakyat Malaysia serta Terengganu khasnya.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut menzahirkan keterujaan dengan kejayaan anak Terengganu itu, apatah lagi ia mengulangi episod kejayaan Anuar Manan, juga anak jati Terengganu, di Port Dickson pada LTdL 2010.

“Tahniah Harrif Salleh dari Terengganu Inc TSG Team menjadi juara peringkat kedua Le Tour De Langkawi 2019 petang tadi (semalam).  

“Saya difahamkan kali terakhir pelumba berbasikal dari Malaysia menjadi juara peringkat LTDL adalah pada 2010 iaitu Anuar Manan yang juga dari Terengganu. Sejarah tercipta, `kemah keming boh!’,” tulis beliau dalam Instagram yang dimuat naik malam tadi.

Semalam, Harrif melakar sejarah muncul sebagai pelumba Malaysia kedua menjuarai salah satu peringkat dalam saingan LTdL 2019 selepas kemarau selama sembilan tahun.

Kali terakhir pelumba tempatan muncul juara salah satu peringkat dalam saingan ini menerusi Anuar Manan pada 2010 yang memenangi peringkat kelima dari Muar ke Port Dickson.

Harrif yang dibantu rakan sepasukan ketika melakukan asakan di kilometer terakhir, dinobatkan juara peringkat kedua LTdL membabitkan laluan dari Senawang ke Melaka yang meliputi jarak 200.6 km, semalam.

Lebih manis beliau berjaya menumbangkan MR LTdL  Andrea Guardini, pada saat-saat akhir.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: