Monday, 1 April 2019

MB Terengganu Cadang Kementerian Guna ICT Sepenuhnya

SHARE
Penolong Pegawai Tanah pelbagai daerah dari seluruh negara bersua foto dengan Dr Ahmad Samsuri dan Dr Xavier (tengah) di Permai Hotel Kuala Terengganu malam ini.

KUALA TERENGGANU,  1 April - Kerajaan negeri mencadangkan  Kementerian Air,  Tanah dan Sumber Asli menyediakan peralatan teknologi terkini di samping memberi pendedahan dan menggalakkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sepenuhnya kepada kakitangan kerajaan ketika melaksanakan tugas. 

Ini bersesuaian dengan tema 'Peranan Penolong Pegawai Tanah Dalam Merealisasikan Revolusi Industri 4.0' di Persidangan Penolong Pegawai Tanah Ke-7 di Permai Hotel, di sini hari ini.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara aspek yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kementerian ialah menyusun atur struktur perjawatan penolong pegawai tanah di pentadbiran tanah seluruh negara agar sesuai dengan keadaan semasa.

Di samping  itu ia  dapat memberi keselesaan kepada pegawai-pegawai berkenaan dalam menjalankan kewajipan mereka termasuk keperluan kekananan (seniority) perjawatan masing-masing.

Ketika berucap di majlis makan malam sempena persidangan tersebut Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha untuk memastikan kemajuan negeri itu berada pada tahap yang membanggakan dalam urusan  melibatkan tanah.

Turut hadir dalam majlis makan malam itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, pegawai-pegawai tinggi dari kementerian berkenaan dan kira-kira 800 orang penolong pegawai tanah daerah dari seluruh negara. 



Seterusnya Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri terus memberi perhatian serius dari semasa ke semasa terutama bagi mempercepatkan proses pembangunan yang melibatkan tanah iaitu dengan mewujudkan cara prosedur kerja yang lebih efisien (cekap) serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Apabila saya turun ke daerah-daerah dan mengadakan dialog dengan penduduk, soalan yang popular di kalangan rakyat di bawah ialah isu yang berkaitan dengan tanah dalam pelbagai sudut.

"Oleh kerana itu, isu tanah ini sebenarnya isu yang berkait rapat dengan diri mereka, tempat mereka berpijak, bukan semata-mata tempat mereka berpijak tetapi ada isu-isu yang perlu perhatian serius daripada pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah yang wujud di kalangan mereka," jelasnya.

Beliau percaya dan berkeyakinan  bahawa kejayaan demi kejayaan akan dapat dicapai dalam waktu yang singkat dengan wujudnya hubungan harmoni antara semua warga kerja pentadbir tanah dengan agensi di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di bawah Menterinya Dr Xavier Jayakumar.

"Saya berkesempatan beberapa kali hadir mesyuarat Majlis Tanah Negara bersama dengan Dr Xavier dan kita dapat melihat bagaimana komitmen mereka yang sangat tinggi dalam membincangkan apa juga  isu yang bersangkutan dengan tanah, sumber asli dan air.

"Sehingga saya boleh kata antara mesyuarat yang paling kerap perbincangan dilakukan adalah di bawah Dr Xavier Jayakumar, tahniah diucapkan," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: