Sunday, 14 April 2019

Masyarakat Dan NGO Sumber Kekuatan Terengganu

SHARE
Alias Harun.


Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 14 April - Masyarakat yang terlibat dalam pelbagai agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan korporat adalah antara sumber kekuatan kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional, Alias Harun berkata, entiti tersebut banyak memberi khidmat sama ada berbentuk nasihat, kritikan mahupun sumbangan ekonomi.

Jelasnya, peranan itu adalah konsep sebenar dalam pentadbiran yang menekankan tanggungjawab setiap rakyat dalam membentuk kerajaan yang stabil dan berdaya maju.

Kalau hanya bergantung kepada sumber kerajaan, mungkin kita sudah tidak dapat hendak menyelesaikan masalah yang banyak ini untuk kita selesaikan dalam masa yang cepat,ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Santuni Kelab Ibu Tunggal dan Armalah (KITA) di Balai Raya Alor Tempoyak, di sini, kelmarin.

Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang juga berkata, kerajaan negeri komited untuk mentadbir Terengganu menerusi gagasan Maju, Berkat, Sejahtera.

Tambahnya, kemajuan yang dihajati oleh semua rakyat mestilah melalui proses tertentu tanpa mengundang kemurkaan Allah.

Kita nak maju, tapi dalam kemajuan yang kita kejar, jangan sampai kita cari kemajuan, kita gadaikan agama kita, kefahaman kita.

Jagalah keluarga kita sebab keluarga kita dan anak kita itu adalah masa depan negara kita, kalau kita tidak letak anak kita mengikut landasan yang dikehendaki oleh islam, maka runtuhlah negara,” katanya.

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Tempoyak itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti kampung tersebut.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: