Thursday, 11 April 2019

Masjid Tawar Khidmat Nasihat Syarie Percuma

SHARE
Usaha MAMBS permudahkan masyarakat untuk mendapatkan nasihat berkaitan perundangan.

KUALA TERENGGANU, 10 April – Masjid Al-Muktaffi Billah Shah dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST) mengambil inisiatif merintis program Khidmat Nasihat Syarie (Celik Syariah) secara percuma kepada masyarakat Islam setempat.

Program berkenaan diadakan pada Isnin minggu ketiga setiap bulan, secara percuma dikelolakan oleh panel penasihat terdiri daripada peguam syarie yang bertauliah.

Pengerusi masjid itu, Datuk W. Mohd Albakri Mohd Noor berkata, usaha berkenaan dilaksanakan bertujuan membuka ruang dan memberi jalan penyelesaian kepada masyarakat untuk mendapatkan khidmat nasihat secara percuma berkaitan perundangan keluarga Islam,  perundangan jenayah Islam, prosedur kes mahkamah syariah serta tatacara pengurusan harta orang Islam.

Setiap sesi khidmat nasihat berlangsung selama dua jam bermula 10 pagi hingga 12 tengahari dengan kaedah perbincangan dua hala serta boleh dibuat secara individu atau berkelompok.
Datuk W. Mohd Albakri Bin Mohd Noor.

 “Kebanyakan suami isteri tidak mengetahui hak dan tanggungjawab mereka dalam Islam serta undang-undang menyebabkan anak-anak sering menjadi mangsa dalam banyak permasalah yang berlaku.

“Dalam usaha mengelakkan individu tertentu teraniaya dan terabai disebabkan oleh perceraian, kematian dan lain-lain, adalah penting bagi masyarakat untuk mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagaimana yang tertakluk dalam perundangan,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Menurutnya, program itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan mereka yang membuat temu janji akan diutamakan.

“Bagi mendapatkan maklumat atau membuat temu janji, masyarakat boleh berhubung dengan eksekutif Masjid di talian 09-6318453 atau 014-7217703 kerana ia lebih memudahkan penyelarasan dibuat bagi memberikan hasil yang memuaskan.

“Kami berharap usaha MAMBS ini dapat membuka minda masyarakat tentang perundangan Islam serta membuktikan masjid bukan sahaja menjadi tempat rujukan ilmu fardhu ain semata-mata tetapi juga ilmu fardhu kifayah,” katanya.

Bagi sesi pertama pada bulan lalu, seramai 13 peserta hadir mengutarakan pelbagai masalah perundangan berkait hibah, pusaka dan perceraian.

Untuk sesi seterusnya, khidmat nasihat syarie akan diadakan pada 16 April ini dan penyertaan masih dibuka kepada umum.
                                                                                                                                                 
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: