Thursday, 18 April 2019

Masalah Air Di Kawasan Luar Bandar Setiu Bakal Berakhir

SHARE
Shaharizukirnain Abdul Kadir.



KUALA TERENGGANU, 18 April - Masyarakat luar bandar di Setiu mengalu-alukan komitmen Kementerian Pembangunan Luar Bandar melaksanakan projek bekalan air di kawasan berkenaan sebagai langkah untuk membangunkan ekonomi setempat.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, masalah bekalan air sudah lama berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan dan mata pencarian penduduk.

Katanya, kerajaan bersetuju meluluskan beberapa projek bekalan air di kawasan luar bandar melibatkan Kampung Padang Serai, Beris Tokku, Setia Jaya, Che Mohid, Pak Kancil Dalam dan Pengkalan Gelap.

“Masalah air rakyat di Setiu yang telah saya suarakan dalam membahaskan kajian separuh penggal RMK11 (Rancangan Malaysia Ke-11) baru-baru ini telah mendapat reaksi positif daripada pihak kerajaan.

Isu bekalan air luar bandar telah lama dialami oleh penduduk Setiu dan saya berharap agar dengan pelaksanaan projek ini dapat menyelesaikan isu bekalan air yang merupakan antara masalah utama penduduk luar bandar,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih atas pengumuman Perdana Menteri untuk meneruskan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Walaubagaimanapun, Shaharizukirnain sedikit kecewa apabila stesen di Telaga Papan yang sebelum ini termasuk dalam jajaran ECRL dibatalkan.

Pembinaan ECRL ini jelas sekali mampu memberi manfaat yang besar kepada masyarakat khususnya rakyat Terengganu.

“Namun begitu, saya tetap ingin menzahirkan kekecewaan saya terhadap pembatalan projek pembinaan stesen di Telaga Papan yang sebelum ini termasuk dalam jajaran ECRL," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar Kerajaan Pusat melaksanakan beberapa projek pembangunan tambahan bagi mengembangkan ekonomi luar bandar Setiu.

“Saya meminta agar Kerajaan Pusat mampu menyediakan inisiatif lain dengan menambahkan bilangan projek-projek seperti projek perumahan dan lain-lain yang berskala besar,” tambah beliau lagi. 


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: