Tuesday, 2 April 2019

Martabat Manfaat Koperasi Kepada Masyarakat - Nurkhuzaini

SHARE


KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri berharap koperasi di seluruh Terengganu memartabatkan peranan dan manfaat pertubuhan mereka kepada masyarakat umum.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, manfaat koperasi selama ini tidak disedari oleh kebanyakan masyarakat.

"Koperasi-koperasi yang ada hari ini kebanyakannya dipimpin oleh golongan berusia dan kita mahu ia diperkenalkan untuk menarik minat golongan muda terutama di negeri ini supaya bergiat aktif dalam koperasi.

"Semoga kita dapat menggembleng tenaga secara bersama untuk mengangkat martabat koperasi di mata masyarakat dan mencapai kecemerlangan di peringkat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sembang Santai Koperasi di Hotel Felda Residence, di sini, malam tadi.



Hadir sama, Pengarah SKM Negeri Terengganu, Wan Abdul Halim Wan Abdul Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi-koperasi Terengganu (KOPTER), Dato' Hashim Mamat.

Program tersebut menghimpunkan lebih 700 koperasi yang aktif di seluruh negeri bagi mengukuhkan hubungan dan membina jaringan perniagaan antara mereka.

Ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan dan usahasama di samping membina pendapatan masing-masing dalam bidang yang diceburi.

Sekitar 100 wakil-wakil koperasi hadir memberikan sokongan dan penglibatan dalam majlis berkenaan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: