Sunday, 7 April 2019

Lokasi Terengganu Bike Week Perlu Ditukar

SHARE

Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 7 April – Kerajaan negeri memandang serius aduan orang ramai berkaitan penganjuran Terengganu Bike Week (TBW) minggu lalu yang dikatakan menimbulkan bunyi bising dan ketidakselesaan pengunjung serta pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang terletak berdekatan lokasi acara itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, permasalahan tersebut telah diketengahkan kepada Pengerusi Kelab Motor Muda JPJ (mantan Pengarah JPJ Malaysia) Dato' Seri Ismail Ahmad yang mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai kelab permotoran bagi penganjuran Bike Week pada masa akan datang.

“Melihat kepada perjalanan program, saya kira ada penambahbaikan yang perlu dilakukan. Antaranya salah satu tempat yang sesuai dijadikan lokasi Bike Week ini ialah Kompleks Sukan Sultan Zainal Abidin, Gong Badak kerana mempunyai pelbagai fasiliti dan kawasan yang luas.

“Saya juga percaya, para peserta TBW juga terbuka tentang permasalahan ini kerana sebahagian besar terdiri daripada mereka yang telah berjaya, matang serta memahami aspirasi dan datang dengan tujuan yang baik,” katanya kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).  

Ahmad Amzad turut melihat potensi yang ada pada program TBW yang bukan sekadar untuk berhimpun malah dapat dikembangkan lagi dengan mengatur pelbagai agenda untuk kebaikan bersama.

“Antara lokasi lain yang boleh dipertimbangkan adalah Pulau Warisan, Kuala Terengganu. Kawasan ini amat luas sehingga ke Pesisir Payang dan mempunyai panorama yang menarik berlatarkan 'drawbridge' yang bakal siap tidak lama lagi.

"Keluasan yang ada amatlah sesuai untuk dibina 'booth', gerai jualan dan tapak aktiviti lain. Ditambah dengan kawasan yang menjadi mercu tanda Bandaraya Kuala Terengganu.

“Jika program ini dianjurkan di sini, ia sudah pasti dapat menjana pendapatan para peniaga Pasar Payang, para peniaga di Pulau Warisan serta pengusaha-pengusaha hotel dan homestay di Kuala Terengganu,” tambahnya.

Beliau turut berjanji akan memanjangkan perbincangan itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri,  Arifin Deraman.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: