Tuesday, 23 April 2019

Lee Tuck Idam Sarung Jersi Kebangsaan

SHARE
Lee Tuck sedang beraksi dalam satu perlawanan bolasepak sebagai pemain tengah TFC.


KUALA TERENGGANU, 23 April - Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck masih mengidam untuk menyarung jersi kebangsaan dan kini berusaha gigih mengumpul dokumen kerakyatan Malaysia keluarga ibunya sehingga tempoh akhir diberikan, hujung minggu ini.


Lee Tuck akui bukan mudah untuk mengemukakan dokumen lengkap berhubung pertalian darah Malaysia keluarga ibunya dan dia kini dalam proses mengumpulkan semua maklumat yang berkaitan bagi menentukan status sebenar pemain berdarah campuran England-Malaysia ini.
Jelasnya, semua pihak tidak ketinggalan turut sama membantu mempercepatkan proses berkenaan untuk memastikan status kewarganegaraannya dapat diputuskan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Cita-cita Lee Tuck (dua dari kanan) menyarung jersi kebangsaan pasti tercapai sekiranya dokumen kerakyatan segera diperolehi.

“Masalah utama yang saya sedang hadapi sekarang ialah untuk mendapatkan semua dokumen lengkap daripada sebelah nenek saya di United Kingdom dan saya sedang berusaha dapatkan sebelum tarikh tutup yang diberikan.
“Banyak perkara di belakang tabir perlu dilakukan sebelum segala dokumen yang diminta akan lengkap, ia bukan satu proses yang mudah serta boleh selesai dalam sekelip mata.
“Sememangnya saya masih ingin beraksi bersama skuad kebangsaan cuma perkara seperti ini memakan masa dan harap ia mampu direalisasikan.
“Tetapi saya yakin semua itu akan selesai dalam masa terdekat dan hasrat peminat untuk lihat saya sarung jersi kebangsaan pasti akan tercapai, “ katanya.
Sebelum ini, penolong pengurus TFC, Zulfadli Rozi memaklumkan Lee Tuck masih gagal mengemukakan dokuman lengkap yang diperlukan untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara menyebabkan hasratnya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan tertangguh.

Lee Tuck (kanan).
Jelasnya, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak pernah membelakangkan impian pemain berusia 31 tahun itu sebaliknya tetap memberi sokongan untuknya segera mengumpul maklumat yang berkaitan.
Statusnya masih samar sehingga kini kerana pemain yang dilahirkan di England itu masih belum berjaya mengumpulkan kesemua maklumat lengkap berhubung keluarganya dan perlu menyelesaikan proses itu secepat mungkin sekiranya enggan menunggu lebih lama untuk beraksi bersama Harimau Malaya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: