Saturday, 20 April 2019

'Kuasa' Kipre Kembali Pulihkan Terengganu FC

SHARE
Gol Kipre bangkitkan motivasi pasukan.


KUALA TERENGGANU, 19 April - Penyerang Terengganu Football Club (TFC), Tchetche Kipre mula mendapat sentuhan gol 'emasnya' bagi aksi Liga Super musim ini.

Beliau menjaringkan dua gol pada minit ke 49' dan minit 89' untuk membantu TFC mengatasi Felda United 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, semalam.

Melayan kunjungan The Fighters di laman sendiri, Sang Penyu bermula garang dengan beberapa percubaan ke gawang lawan.
Add caption

Pelawat yang turun tanpa kapten pasukan, Hadin Azman lebih banyak bertahan namun seringkali melakukan serangan balas pantas ke kubu tuan rumah.

Gawang TFC hampir bolos pada minit 38' apabila S. Chanturu mendapat peluang di hadapan gol, tetapi rembatannya berjaya ditepis Mohd Suffian sebelum Igor Zonjic kemas menghadang rembatan susulan Kei Ikeda.

Kedua-dua pasukan saling bertukar penguasan bola, namun buntu jaringan sepanjang babak pertama.

Babak kedua bermula panas dengan beberapa keputusan kontroversi pengadil.
Aksi Lee Andrew Tuck turut bantu TFC dominasi lawan.

Bagaimanapun, TFC lebih pantas menukar suasana perlawanan apabila Kipre tenang menggelecek beberapa pemain Felda United sebelum melakukan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Norazlan Razali.

Tuan rumah memperkemaskan penguasaan dengan Sanjar Shaakhmedov banyak mengatur serangan, tetapi pelawat tampak tidak mengalah.

Pada minit ke 85' Kipre menggamatkan stadium apabila rembatannya terkena palang.

Seminit kemudian, TFC pula cemas apabila  Jasazrin Jamaludin merembat kencang ke palang gol tuan rumah.

Kipre kemudian meletakkan TFC selesa di depan dengan mudah menggelecek Norazlan selepas memanfaatkan kesilapan Jasazrin yang menghantar bola ke belakang pada minit 89'.

Felda terus mencari peluang merapatkan kedudukan dan berjaya mendapatkan gol saguhati melalui rembatan deras Kei Ikeda sejurus sebelum perlawanan tamat.

Ini merupakan gol ketiga Kipre selepas membantu TFC menewaskan Kelantan United 3-1 dalam pusingan ketiga saingan Piala FA, Selasa lalu.

TFC naik ke kedudukan ke tujuh liga dengan 12 mata dan bakal bertandang ke kubu PJ City minggu hadapan.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: