Wednesday, 17 April 2019

Kuala Terengganu Pengeluar Terbesar Ikan Makan

SHARE

 
Zawawi Ali.
Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 17 April Kuala Terengganu menjadi daerah penyumbang utama dalam industri pengeluaran ikan makan di Terengganu.

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali berkataTerengganu mempunyai seramai 825 penternak yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri dalam kategori ikan makan dan hiasan serta benih ikan.

Jelasnya, daripada keseluruhan data berkenaan, Kuala Terengganu mencatatkan peratusan tertinggi berbanding daerah lain dalam sektor ikan makan.

Pada tahun 2018, sebanyak 5,351.61 metrik tan pengeluaran ikan makan telah direkodkan dengan nilai RM94.668 juta manakala pengeluaran ikan hiasan dan benih adalah masing-masing bernilai RM4.018 juta dan RM932.369 juta.

“Kuala Terengganu mengungguli pengeluaran ikan makan sebanyak 35 peratus manakala daerah Kemaman memberi sumbangan hampir 41.6 peratus bagi sektor ikan hiasan, pengeluaran benih ikan marin pula disumbangkan oleh Besut,” jelasnya.


Beliau berkata sedemikian semasa berucap dalam Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu 2019 bertempat di Dewan Besar, Akademi Perikanan Malaysia, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengarah Akademi Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, ketua-ketua jabatan serta agensi perikanan. 

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu adalah usaha pihak kerajaan bagi memastikan pengurusan pembangunan imdustri akuakultur lebih teratur.

Ia juga bertujuan untuk mengangkat produk perikanan negeri ke pasaran negara dan juga antarabangsa.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: