Friday, 12 April 2019

KOPERAT Sumbang RM50,000 Bina Surau

SHARE
Hishamuddin Abdul Karim (kiri) dan Ustaz Ridzuan Hashim menyempurnakan Majlis Perasmian Pembinaan Surau Hidayah Taman Koperat Peradong semalam.
Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 12 April - Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (KOPERAT) menyumbangkan sebanyak RM50,000 untuk membina Surau Hidayah di Taman Koperat Peradong.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, sumbangan korporat seperti ini dapat mempercepatkan lagi pembinaan surau yang akan menjadi kegunaan orang ramai.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Sumbangan Pembinaan Surau Hidayah Taman Koperat Peradong yang diadakan di tapak pembinaan Surau Hidayah, Taman Koperat Peradong, semalam.

“Saya juga berharap agar masyarakat dapat menyumbang dalam pelbagai bentuk sama ada dari segi kewangan ataupun tenaga kerja, bagi menjayakan pembinaan surau ini.

“Pembinaan sesebuah surau dalam satu-satu komuniti sangatlah penting khususnya bagi mengeratkan ukhuwah dan perpaduan komuniti tersebut.

“Surau juga menjadi asas kepada keutuhan perpaduan sesebuah masyarakat, sebagaimana Nabi Muhammad SAW membina masjid ketika mula-mula sampai ke Madinah," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pengerusi KOPERAT, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dalam ucapannya berkata, buat masa ini, hanya RM50,000 sahaja mampu disumbangkan, dan insya-Allah akan menyumbang lagi sekiranya KOPERAT dapat menjana keuntungan yang lebih banyak.

“Taman ini mempunyai 81 unit rumah teres, 74 unit rumah berkembar dan 10 unit kedai dan saya berharap surau yang dibina menepati ilustrasi yang digambarkan oleh jurutera.

“KOPERAT pada hari ini, akan terus mara ke hadapan dalam usaha untuk memberi keuntungan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, dan diharap dengan sumbangan ini akan dikurniakan keberkatan agar perjalanan syarikat lebih lancar dan berkeuntungan," tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan sama, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau Hidayah, Fazli Abd Jalil, pembinaan surau ini menelan kos sebanyak RM350,000 dengan keluasan 1,950 kaki persegi dan dapat memuatkan 100 orang jemaah dalam satu-satu masa.

“Pembinaan surau ini telah bermula sebulan yang lalu dan dijangka siap sebelum bulan Ramadhan tahun hadapan," ulasnya.

Turut hadir, Pengurus Besar KOPERAT, Sayed Abd Rahman Engku Sulong.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: