Wednesday, 24 April 2019

Kerajaan Negeri Terima Bayaran Penuh Premium Tanah RM183 Juta Dari UniSZA

SHARE


KUALA TERENGGANU, 23 April- Kerajaan negeri telah menerima kesemua bayaran premium sebanyak RM183 juta daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi empat lot tanah di Kampus Gong Badak.

Penyerahan cek terakhir bayaran berjumlah RM55,021,070 bagi 20.983 hektar tanah lot di mukim Batu Rakit dilunaskan oleh UniSZA kepada kerajaan negeri, semalam.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cek yang terakhir daripada jumlah keseluruhan itu adalah bayaran bagi tapak tanah UniSZA Kampus Gong Badak apabila bertukar daripada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada UniSZA dan diambil Kementerian Pendidikan.

Katanya, pembayaran bagi keseluruhan premium tanah itu dibuat sebanyak empat kali.

“Bayaran kali pertama dibuat pada awal November 2016 dengan jumlah sebanyak RM71,101, 880 bagi 101.765 hektar tanah di mukim Kuala Nerus.

“Pada 24 April 2018, UniSZA membuat bayaran menerusi dua cek dengan jumlah RM2,103,088 bagi 0.704 hektar tanah di mukim Batu Rakit dan RM55,014,840 bagi 17.755 hektar tanah di mukim Batu Rakit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyerahan Premium Tanah UniSZA Kampus Gong Badak Kepada Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, semalam.

Pada majlis itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan  telah menyempurnakan penyerahan replika cek kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ A Rahman Yahya sambil disaksikan Dr Ahmad Samsuri.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri turut menzahirkan ucapan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan oleh UniSZA dan menyatakan bahawa kerajaan negeri akan manfaatkan wang itu sebaiknya.

“Wang ini akan dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan dan kerajaan negeri akan menguruskannya untuk manfaat negeri dan rakyat,” ujarnya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: