Monday, 29 April 2019

Kerajaan Negeri Kenal Pasti Kontraktor Berpotensi Sertai Projek ECRL

SHARE


KUALA TERENGGANU, 29 April- Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif mengenal pasti kontraktor yang berpotensi untuk diketengahkan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi merealisasikannya, beliau meminta pegawai berhubung dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT) untuk menyenaraikan kontraktor dan pengkhususan bidang masing-masing untuk menilai keupayaan mereka bagi menyertai projek ECRL.

Ahmad Samsuri berkata, secara tidak langsung langkah itu membolehkan kerajaan negeri menjadi ‘orang tengah’ dalam berunding dengan pihak Kerajaan Pusat dan kontraktor utama bagi projek mega berkenaan.


“Saya telah meminta pegawai saya berhubung dengan PKMMT untuk dapatkan pengkhususan para kontraktor di Terengganu ini.

“Tujuannya bagi mendapatkan gambaran keupayaan (kontraktor) untuk terlibat dalam ECRL ini setakat mana dan bagaimana kerajaan negeri boleh mengambil langkah untuk memudahkan urusan mereka sebab ini bukan projek kerajaan negeri tetapi kita boleh membantu termasuklah proses rundingan dengan kerajaan pusat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT) Kali Ke-43 di Primula Beach Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua PKMM Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Ahmad Samsuri berkata, terdapat banyak pengkhususan yang boleh direbut oleh kontraktor tempatan termasuk melibatkan kerja-kerja awam, mekanikal atau elektrikal.


“Semua ini adalah peluang untuk kontraktor-kontraktor kita. Kita nak memudahkan urusan, supaya kontraktor negeri ini yang mendapat projek di Terengganu.

“Kalau syarikat kontraktor yang besar, mereka mungkin ada kepakaran dalam pelbagai perkara. Tapi, bagaimana pula dengan nasib kontraktor kita yang kecil-kecil ini? Mereka juga ada kepakaran tapi dalam satu-satu bidang tertentu. Ini yang kita nak memudahkan supaya mereka melengkapi sesama sendiri dengan menggabungkan kepakaran masing-masing,” katanya.

Difahamkan, terdapat lebih 4,500 kontraktor negeri ini yang berdaftar dengan PKMMT.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: