Thursday, 18 April 2019

Kem Cador Bakal Menjadi Pusat Pemulihan Dadah Holistik Terengganu

SHARE
Seorang pemenang cabutan bertuah utama sebuah motosikal menerima kunci dari Ustaz Mohd Nor (tiga dari kanan).
KEMAMAN,  18 April - Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk menggunapakai Bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih Cador,  Marang sebagai pusat pemulihan penagih dadah secara holistik pertama di Terengganu tahun depan.

Pusat itu yang dibina di atas tanah kerajaan dalam perkiraan untuk diambilalih bagi tujuan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,  Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata,  modul  pelaksanaan pusat tersebut hampir 90 peratus siap.

Ustaz Mohd Nor (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah di Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK)  2019 Peringkat Negeri Terengganu di Felda Kerteh 5, di  Kemaman hari ini.

Kerajaan negeri katanya,  akan menyempurnakan modul tersebut berasaskan kepada modul yang baru yang disediakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kementerian Dalam Negeri dan diselaraskan dengan beberapa modul yang disediakan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Terengganu.

"Kerajaan negeri juga sedang menunggu penyediaan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) berkenaan dengan status untuk mengambil Kem Cador termasuk kos pengambilan tanah dan bangunan.

"Keputusan berkaitan akan dibuat dalam mesyuarat dengan agensi berkenaan, berhubung dengan perkara tersebut tidak lama lagi, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK)  2019 Peringkat Negeri Terengganu di Felda Kerteh 5, di sini hari ini.

Ustaz Mohd Nor berucap merasmikan Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK)  2019 Peringkat Negeri Terengganu di Felda Kerteh 5, di Kemaman hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK,  Dato' Izhar Abu Talib dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu,  Hilmi Fahzan Abdul Wahab.

Seterusnya Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Bukit Payung berkata,  kerajaan negeri juga sedang menunggu kertas perjawatan yang akan disiapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)  dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi keperluan pengurusan dan pentadbiran pusat tersebut.

Kerajaan negeri juga katanya,  akan melawat pusat pemulihan dadah di Thailand yang dikatakan dibuat secara perkampungan dan tarikh lawatan ke pusat itu akan dimaklum sedikit masa lagi.

"Kerajaan negeri turut mengkaji konsep pelaksanaan pusat-pusat pemulihan dadah dalam negeri yang dibuat oleh Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di samping pusat pemulihan yang dibuat oleh AADK sendiri di Besut.

Gimik Perasmian Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK) 2019 Peringkat Negeri Terengganu dilaksanakan oleh Ustaz Mohd Nor (empat dari kanan) di Felda Kerteh 5, di Kemaman hari ini.
"Kerajaan negeri akan menggabungkan semua modul pelaksanaan pusat-pusat berkenaan untuk diadaptasikan di Kem Cador nanti, " ujarnya.

Sementara itu Dato' Izhar menyokong penuh usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat tersebut di Kem Cador dan akan membantu sedaya mungkin bagi menjayakan pusat pemulihan dadah tersebut. 
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: