Tuesday, 30 April 2019

Kelantan Dan Terengganu Bakal Jalin Kerjasama Strategik - MB

SHARE
Pemimpin Terengganu dan Kelantan berdiri menghormati lagu Kebangsaan dan lagu Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera. 
KUALA NERUS,  30 April - Kerajaan Kelantan dan Terengganu merancang untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang ekonomi dan pembangunan  berteraskan prinsip pentadbiran dan sumber asli kedua-dua buah negeri tersebut. 

Menteri Besar Terengganu,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu menjadikan pentadbiran Kelantan sebagai contoh dengan menerapkan konsep 'UMII' (Ubudiyah,  Mas'uliyah,  Itqan dan Islah) dalam pentadbiran negeri.

"Saya mengharapkan kerjasama antara Kelantan dan Terengganu,  diperluaskan lagi,  terutamanya dalam aspek ekonomi dan pembangunan negeri.

Pemimpin Terengganu dan Kelantan di Majlis Makan Malam Bersama Tuan Guru Abdul Hadi di Duyong Marina Resort.
"Kita yakin,  kita mempunyai sumber asli dan juga tenaga-tenaga pakar yang begitu ramai yang belum dieksploit sepenuhnya, " jelas beliau.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu,  Haji Yahaya Ali di Majlis Makan Malam Bersama Ahli Parlimen Marang,  Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang , Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob dan pemimpin-pemimpin tertinggi kedua-dua negeri berkenaan.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, projek ECRL (Rangkaian Landasan Keretapi Pantai Timur)  antara projek yang ditunggu-tunggu untuk merealisasikan kolaborasi strategik antara Kelantan dan Terengganu.


"Lebih-lebih lagi,  satu projek yang kita tunggu-tunggu yang berada di Terengganu dan Kelantan, iaitu projek ECRL ia boleh dimanfaatkan untuk kemudahan penumpang  dan kargo serta dijangka ia akan merancakkan ekonomi kedua-dua negeri itu nanti, " ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Yaakob pula berkata,  perbezaan sedia ada tidak jauh antara Terengganu dengan Kelantan dalam beberapa aspek.

"Terengganu berbanding Kelantan, pengundi Melayu Kelantan berada di tangga kedua dengan jumlah 94.5 peratus manakala Terengganu, di tangga teratas dengan jumlah pengundi, 96 peratus.

"Justeru pendekatan dan strategi tidak begitu jauh berbeza antara kedua-dua negeri tersebut," jelas beliau.

Cuma katanya,  pantai Terengganu terpanjang di pantai timur berjumlah 225 kilometer (km) berbanding dengan negeri itu.

"Sudah sepastinya industri pelancongan Terengganu merupakan satu industri yang amat penting.

"Kita boleh belajar dengan Terengganu,  sebab sememangnya pantai yang panjang 225 km itu sudah pasti banyak program pelancongan yang boleh dibuat dan boleh kita bincang bersama," jelasnya.

Katanya, melalui jawatankuasa penasihat yang dianggotai oleh pemimpin yang terpilih,  sudah tentu satu keputusan akan dibuat untuk rancangan kerjasama tersebut.

"Kelantan sedia mematuhi segala keputusan yang dibuat untuk tujuan berkenaan, " jelasnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: