Monday, 29 April 2019

Kejohanan Bola Jaring Biar Setanding Bola Sepak Piala MB - Isteri MB

SHARE
Oleh: Aslam Wira

MARANG, 27 April - Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman mengharapkan penglibatan ramai wanita muda dalam kejohanan bola jaring dapat memartabatkan lagi acara itu sebagai sukan tahunan yang diminati ramai serta setanding Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Terengganu.

Menurutnya, sebanyak 14 pasukan yang terdiri daripada 140 orang  pemain, 20 orang pegawai sukan termasuk empat pengadil dalam pertandingan sukan bola jaring pada kali ini memberi petunjuk baik penyertaaan yang sentiasa meningkat dan mendapat sambutan ramai peminat sukan itu.

“Saya juga berharap agar kejohanan ini akan memberi perangsang kepada pemain-pemain khasnya dan mereka yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung agar bersatu hati megharumkan nama DUN Rhu Rendang.

“Syabas dan tahniah di atas langkah yang diambil oleh i-MiTS (Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera) dan Ameerah DUN Rhu Rendang dalam menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Piala Isteri Menteri Besar ini dan sewajarnya perlu diberi perhatian,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Bolah Jaring Piala Isteri ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Rhu Rendang, kelmarin.

Turut hadir,  Pembantu Penyelia i-MiTS Rhu Rendang, Nor Asikin Mohamad, Ketua Ameerah Kawasan Marang, Asma’ Abdullah dan Wakil Hawa DUN itu, Sarifah Seman.

Kejohanan Bola Jaring itu adalah anjuran Ameerah mengetengahkan bakat dan minat golongan wanita itu belangsung dua hari bermula 26 April lalu di Dewan Maecon Sport Centre, Kelulut.


Dalam pertandingan itu, Kumpulan Tengku Lela Segara muncul johan dan pemainnya turut menerima hadiah pemain terbaik, Liza Nuralyaa Natasha.

Manakala penjaring terbanyak dengan 42 jaringan, Nurul Filzah Wira dari kumpulan Bravo. Kumpulan itu pula mendapat naib johan.

Dalam perkembangan yang sama, pengarah program, Nurhidayah Ali berkata, tujuan utama bukan sekadar merebut hadiah perlawanan, tetapi juga untuk merapatkan silaturahim dan keseronokan bermain serta melahirkan rasa suka dan minat untuk melaksanakan sukan yang mematuhi syariah.

“Ini, kerana antara peraturan yang ditetapkan kepada pemain adalah mengenakan jersi dan pakaian muslimah serta menutup aurat sepenuhnya, malah perlawanan ini diadakan di tempat yang tertutup.

“Di pihak penganjur juga, kami bersedia menyahut seruan untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan di DUN ini,” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: