Sunday, 28 April 2019

Kebor Air FC Bawa Pulang Piala YB ADUN Buluh Gading

SHARE

Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA NERUS, 28 April - Pasukan Kebor Air FC muncul juara dalam perlawanan akhir menentang Buluh Gading Dewan FC  pada kejohanan bola sepak 11 sebelah tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dan membawa pulang Piala Yang Berhormat Ridzuan Hashim, baru-baru ini (24 April).

Perlawanan sengit itu tamat pada minit ke-90 dengan keputusan penuh seri 1-1 dan pengadil terpaksa membuat keputusan mengadakan sepakan penalti lima lawan lima dan kemenangan akhirnya berpihak kepada Kebor Air FC 5-4.

ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kejohanan ini mengambil masa hampir dua bulan dengan 38 perlawanan keseluruhannya di lima padang iaitu Padang Bola Tetambah, Kesom Haji Husin, Kesom Che Nordin, Jeram dan Banggol Tuan Muda dan disertai oleh 23 pasukan yang bermain setiap hujung minggu.

“Kejohanan ini julung-julung kali diadakan dan kita akan menjadikannya sebagai acara tahunan kerana sambutannya sangat menggalakkan terutamanya dari golongan muda.

“Syabas dan tahniah kepada pasukan Kebor Air FC yang telah menjadi juara pada kejohanan kali ini. Pasukan lain juga masih berpeluang untuk menjadi juara pada kejohanan yang akan datang.


“Syabas dan tahniah juga kepada semua pemain yang telah menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung tanpa ada insiden-insiden yang tidak diingini berlaku seperti pergaduhan dan seumpamanya walaupun kadang-kadang ada provokasi dari pihak penyokong masing-masing,” ujar beliau ketika ditemubual selepas tamat perlawanan akhir di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Terengganu.

Ridzuan berterima kasih kepada Penyelaras Pemuda DUN Buluh Gading selaku penganjur atas kejayaan cemerlang dalam mengendalikan kejohanan tersebut. Kejayaan itu pastinya adalah hasil dari kerjasama dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pemuda walaupun ianya agak mencabar.

“Syabas juga saya ucapkan kepada Buluh Gading Dewan FC yang menduduki tempat kedua, Banggol Peradong FC tempat ketiga dan Tanjung Sabtu FC yang menduduki tempat keempat,” tambah beliau lagi.

Kejohanan ini menawarkan hadiah utama berupa tunai sebanyak RM3 ribu, pingat dan piala pusingan, tempat kedua RM2 ribu berserta pingat, tempat ketiga RM1 ribu berserta pingat dan tempat keempat RM700 beserta pingat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: