Tuesday, 16 April 2019

Jangan Salah Faham, Daerah Terengganu Sifar Kemiskinan

SHARE
Dr Azman Ibrahim. Foto oleh - Wan Luqmanul Hakim

KUALA TERENGGANU, 16 April - Orang ramai diharapkan agar tidak memahami secara salah maksud semua daerah di Terengganu sifar daripada kemiskinan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ungkapan tersebut bukan bermaksud tidak ada orang yang miskin di seluruh Terengganu.

Jelasnya, sebaliknya kenyataan itu adalah untuk mengiktiraf bahawa semua kawasan di negeri berkenaan tidak termasuk dalam kategori termiskin di seluruh negara.

“Salah faham oleh netizen, daerah sifar kemiskinan ini bukan bermaksud tidak ada orang miskin tapi tidak tergolong daripada 28 daerah seluruh negara yang dikategorikan sebagai daerah termiskin dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000.

“Dan daripada 28 itu, tidak ada daerah di Terengganu yang termasuk, yang adanya ialah Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Itu sahaja kenyataan tersebut, bukan makna tidak ada orang miskin di Terengganu, orang miskin dengan daerah termiskin lain makna dia, cuma orang silap faham,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu di Dewan Besar, Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, di sini hari ini.
Perasmian bengkel pemurnian kaedah-kaedah perikanan.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali, Pengarah Akademi Perikanan Malaysia, Ruzaidi Mamat, ketua-ketua jabatan serta agensi perikanan.

Semalam laporan yang bertajuk ‘Semua Daerah Di Terengganu Sifar Kemiskinan’ di pautan https://www.teganukita.net/2019/04/semua-daerah-di-terengganu-sifar.html mendapat perhatian netizen.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Dr Azman berkata, pihak kerajaan negeri akan memantau semua rakyat di Terengganu bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam arus pembangunan.

Kata beliau lagi, perkara itu penting bagi memastikan semua daerah di Terengganu tidak dikategorikan kembali sebagai 28 daerah termiskin.

“Bagaimanapun kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan mengambil cakna perihal penduduk di tiga kawasan terbabit dengan menumpukan empat bidang utama yang dianggap mampu menambah pendapatan penduduk dan seterusnya mampu keluar daripada kelompok kemiskinan.

“Sektor pertanian, perladangan, perikanan dan penternakan antara bidang yang boleh membantu golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan,” jelasnya.




  
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: