Tuesday, 9 April 2019

Isu Penggunaan Vaksin, Perlu Rujuk Pada Yang Pakar

SHARE

KUALA TERENGGANU, 9 April - Ibu bapa yang keliru berhubung hukum pengambilan vaksin dan imunisasi perlu merujuk kepada pihak yang pakar (berkaitan hukum hakam agama) atau pihak berkaitan sebelum membuat keputusan tanpa berdasarkan maklumat sahih.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, antara pihak yang boleh dirujuk ialah Jabatan Kesihatan serta Jabatan Mufti di setiap negeri bagi mendapatkan pandangan dari sudut agama dan kesihatan.

“Dunia kita sekarang ini terbuka luas, Malaysia sahaja menerima kunjungan orang yang pelbagai bangsa dan berlainan latar belakang. Sebahagian daripada mereka tidak melalui proses sebagaimana kita rakyat Malaysia melalui program pencengahan penyakit sejak usia bayi.

“Di kalangan mereka ada yang datang untuk bekerja, melancong dan bersama-sama mereka mungkin ada penyakit yang boleh membawa masalah yang besar kepada masyakat kita.

“Sebab itulah pendedahan terhadap kepentingan penggunaan vaksin perlu kerana kita dapati kebelakangan ini ada sesetengah golongan ibu bapa bertindak untuk menolak penggunaan vaksin bersandarkan kepada fakta yang tidak tepat,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Penyakit Cegahan Vaksin anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, hari ini.

Ahmad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata, langkah merujuk kepada pihak berwajib tentang isu penggunaan vaksin adalah pendekatan terbaik dalam mengelakkan ibu bapa terpedaya dengan maklumat palsu yang boleh membahayakan kesihatan anak-anak.


“Berkaitan kesihatan anak-anak, ibu bapa sepatutnya perlu rujuk kepada mereka yang pakar sama ada ke klinik kesihatan, hospital dan sebagainya kerana mereka ini lebih arif tentang bidang perubatan.

“Kita harap, ibu bapa memainkan peranan untuk mendapatkan maklumat yang lengkap berkaitan penggunaan vaksin kerana kesihatan anak-anak adalah tanggungjawab mereka,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: